- Oleh Dr Hareez Noorman
- Published: 11/08/2026
- Modified: 11/08/2026
Sepanjang saya merawat pesakit sakit lutut akibat osteoarthritis, kebanyakan mereka memberi maklum balas yang positif selepas rawatan. Tapi ada satu panggilan lewat malam yang masih saya ingat sampai sekarang.
“Doktor, boleh ke saya datang klinik esok? Saya nak tanya doktor pasal lutut saya…”
Esoknya, kami pun berjumpa. Beliau masih muda sebenarnya, dalam lingkungan 50-an.
“Saya dah buat suntikan gel lutut dekat setahun setengah lepas, doktor. Tapi akhir-akhir ni lutut saya sakit balik.”
Selepas pemeriksaan dan ultrasound, jelas kelihatan tanda-tanda OA beliau kembali aktif, sendi sudah mula meradang semula.
“Doktor ada cara lain tak? Saya ingatkan boleh tahan lebih lama dari ni…”
Situasi macam ni sebenarnya biasa berlaku dengan suntikan gel HA. Kesannya memang bagus, tapi tak kekal selamanya. Jadi saya cadangkan satu pilihan lain, iaitu gel lutut jenis baharu, dengan fungsi yang sama tapi direka untuk bertahan lebih lama dalam sendi: suntikan hydrogel lutut.
Kandungan
Pendahuluan
Osteoarthritis lutut bukanlah masalah yang jarang berlaku di Malaysia. Kajian menunjukkan hampir satu dalam tiga warga emas berusia 55 tahun ke atas di Malaysia mengalami sakit lutut, dan 25% daripadanya melaporkan simptom OA yang ketara. Malah, satu kajian menunjukkan 20% rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar mengalami simptom osteoarthritis lutut.
Bila OA mula mengganggu kehidupan seharian, salah satu rawatan tidak invasif yang sering dicadangkan doktor adalah suntikan gel lutut hyaluronic acid (HA). Ia berfungsi sebagai pelincir tambahan dalam sendi, membantu kurangkan geseran antara tulang dan meredakan kesakitan akibat pergerakan harian.
Tapi ada satu cabaran dengan HA: iaitu sifatnya yang semulajadi bermakna badan akan menyerap dan menguraikannya dari semasa ke semasa. Hasilnya, kesannya tidak kekal lama, dan ramai pesakit perlu kembali untuk suntikan berulang setiap beberapa bulan sekali.
Di sinilah muncul satu inovasi terbaru. Ia seperti “kembar” kepada HA, tapi tidak serupa sepenuhnya, iaitu hydrogel. Ia turut bertindak sebagai pelincir antara sendi, menyerap hentakan, mengurangkan geseran dan keradangan, fungsi yang hampir sama dengan HA.
Tapi yang menariknya, hydrogel jauh lebih tahan lama, dengan sesetengah kajian menunjukkan kesannya boleh bertahan sehingga 5 tahun dengan hanya satu suntikan.
Kenapa Tulang Rawan Yang Rosak Tak Boleh Sembuh Sendiri
Sebelum itu, mari kita ketahui, mengapa osteoarthritis lutut perlukan rawatan intervensi atau dari luar? Mengapa tidak boleh sembuh sendiri?
Tulang rawan tidak boleh sembuh sendiri kerana ia tidak mendapat darah dan nutrien. Tulang rawan ialah tisu tanpa saraf, saluran darah mahupun saliran limfa. Oleh itu, ia tidak mempunyai keupayaan untuk menerima sumber untuk penjanaan semula.
Oleh kerana tulang rawan yang haus oleh osteoarthritis tidak dapat pulih secara sendiri, pelbagai inovasi perubatan telah diperkenalkan untuk membantu merawat osteoarthritis serta gejalanya melalui pembaikan sendi dan tulang rawan.
Pilihan Rawatan Osteoarthritis Lutut Sedia Ada
Rawatan osteoarthritis lutut bergantung kepada gred osteoarthritis. Rawatan awal termasuklah fisioterapi, senaman pencegahan, dan perubahan gaya hidup. Sesetengah pesakit juga boleh mengambil ubat-ubatan untuk mengawal rasa sakit.
Namun, bagi pesakit OA tahap sederhana atau parah, rawatan awal mungkin tidak lagi berkesan. Biasanya, rawatan intervensi tidak invasif seperti suntikan gel lutut HA, rawatan pemulihan semulajdi, atau rawatan yang mensasarkan saraf genikular lutut seperti G-Block atau RFA disyorkan.
Sekiranya kesemua rawatan tidak berkesan, rawatan terakhir adalah pembedahan ganti sendi lutut.
Namun, rawatan intervensi sentiasa berkembang. Inovasi dan kajian perubatan sentiasa diperkenalkan untuk merawat osteoarthritis lutut.
Kini, suntikan hydrogel menjadi lebih dikenali sebagai “pelincir lutut” terbaru, yang boleh mengurangkan sakit lutut akibat osteoarthritis lebih dari satu tahun.
Suntikan steroid, gel lutut hyaluronic acid atau rawatan pemulihan semulajadi yang lebih baik? Ketahui jawapannya di sini
Apa Itu Suntikan Hydrogel?
Hydrogel mula diperkenalkan pada tahun 1960. Ianya diproduksi untuk produk kanta lekap. Hydrogel merupakan sejenis biomaterial yang boleh menyerap air dengan kuantiti yang banyak. Hydrogel terbentuk melalui teknik cross-linking dengan rangkaian polimer, mernghasilkan struktur gel yang stabil.
Jenis hydrogel yang digunakan sebagai pelincir dalam lutut adalah polyacrylamide hydrogel (PAAG) yang direka khas untuk sendi. Komposisi hydrogel untuk lutut terdiri daripada 90%-97.5% air dan sekitar 2.5% – 5.0% polyacrylamide. Sifat molekul hydrogel yang seperti span ini membolehkan cecair sinovial diserap dalam badan secara berterusan tanpa ia mengecut atau hilang bentuknya.
Mengapa Suntikan Hydrogel Dipanggil “Liquid Knee Replacement”?
Anda pasti sudah biasa mendengar suntikan gel lutut hyaluronic acid bukan? Dan apabila anda membaca maklumat tentang hydrogel, sekali imbas seperti sama.
Tetapi mengapa sesetengah individu menggelar suntikan hydrogel sebagai “liquid knee replacement?”
Hyaluronic acid adalah bahan semulajadi dalam badan yang lebih mudah terurai. Manakala, komponen polyacrylamide di dalam hydrogel ialah sejenis bahan sintetik yang merupakan “bahan asing” dalam badan. Jadi, ia tidak mudah larut atau terurai oleh enzim. Malah, komponen inilah yang membentuk jaringan (cross-linking) yang memerangkap air menjadi struktur gel yang stabil.
Komponen ini kekal lama dalam sendi lutut, membolehkan ia terikat bersama dengan tisu membran sinovial sekitar sendi lutut, dan berfungsi sebagai kusyen yang menyerap hentakan pada sendi, seterusnya mengurangkan keradangan pada sendi lutut secara berterusan.
Suntikan HA vs Hydrogel
Rawatan | Suntikan Hyaluronic Acid | Suntikan hydrogel |
Mekanisme | Hyaluronic acid merupakan bahan semulajadi dalam badan yang bertindak sebagai pelincir, namun lebih mudah terurai oleh enzim. | Hydrogel mempunyai bahan sintetik yang memerangkap air dalam bentuk gel yang stabil, melincirkan sendi untuk jangka masa lama. |
Tempoh Ketahanan | Sekitar 6 bulan -1 tahun | Lebih satu tahun, malah ada kes melaporkan sehingga lebih 3 tahun. |
Kekerapan Suntikan | Perlu diulang beberapa kali | Kekerapan lebih rendah |
Anggaran Kos | RM 300 – RM 2000 | RM 2500 – RM 4000 |
Tahap Osteoarthritis yang Sesuai | Gred 1- Gred 3 | Gred 2-Gred 3 |
Apa Yang Berlaku Semasa Suntikan Hydrogel?
- Doktor akan memberi bius setempat terlebih dahulu untuk mengurangkan rasa tidak selesa sepanjang prosedur.
- Menggunakan ultrasound, doktor akan memeriksa kawasan sendi dan menilai jumlah suntikan hydrogel yang sesuai mengikut keadaan pesakit.
- Sekiranya pesakit mempunyai air radang dalam lutut, aspirasi lutut (prosedur buang air radang) mungkin akan dilakukan terlebih dahulu untuk mengurangkan tekanan sekali gus membolehkan suntikan hydrogel bertindak dengan lebih berkesan.
- Hydrogel mula disuntik perlahan-lahan berpandukan ultrasound ke dalam sendi lutut. Doktor mungkin akan menggerakkan sedikit lutut anda untuk membiarkan hydrogel tersebar sekata pada keseluruhan sendi.
- Pesakit akan dipantau selepas suntikan selama lebih kurang 15 minit untuk memastikan tiada kesan sampingan. Lutut mungkin akan sedikit bengkak selepas suntikan namun akan surut.
- Pesakit dinasihatkan berehat selama 2-3 hari dan mengelakkan kerja berat serta aktiviti fizikal termasuklah berlari dan bersukan, untuk mengelakkan keradangan.
Siapa Yang Sesuai Untuk Rawatan Hydrogel?
- Sesuai untuk pesakit osteoarthritis gred 2 hingga gred 3.
- Pesakit yang telah mencuba rawatan awal seperti fisioterapi, ubat-ubatan dan suntikan lutut yang lain, namun tidak atau kurang berkesan.
- Pesakit yang berumur 50 tahun ke atas
- Pesakit yang tidak layak menjalani atau tidak mahu pembedahan TKR
.
Keberkesanan & Kesan Sampingan Hydrogel
Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan untuk menguji keberkesanan hydrogel sebagai satu lagi rawatan osteoarthritis lutut.
Antaranya ialah kajian yang dilakukan oleh Henning et al. untuk menguji ketahanan dan keselamatan suntikan hydrogel dalam tempoh lima tahun. Data dikutip dan dikumpulkan sejak tahun 2019 daripada 49 pesakit osteoarthritis ringan hingga parah.
Kesemua pesakit menerima satu kali suntikan hydrogel. Data terakhir dikutip selepas 5 tahun pada tahun 2024. Hasil kajian menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada skor WOMAC di mana pesakit melaporkan kurangnya sakit lutut, kaku lutut dan lebih selesa melakukan pergerakan seawall empat minggu selepas suntikan.
Kajian selepas 5 tahun pula menunjukkan hydrogel berjaya melebihi melebihi ambang Minimal Clinically Important Improvement (MCII)yang ditetapkan untuk osteoarthritis lutut, iaitu 9 mata untuk kesakitan, 6 mata untuk fungsi, dan 7 mata untuk kekakuan. Ini menunjukkan hydrogel boleh menangguhkan pembedahan ganti sendi lutut untuk jangka masa yang lama.
Kajian daripada Henriksen et al. pula menunjukkan bahawa selepas 13 bulan, pesakit yang mendapat suntikan hydrogel melaporkan kurangnya sakit dan kaku lutut serta peningkatan fungsi lutut.
Dari segi keselamatan suntikan ini, Overgaard et.al mengkaji kesan sampingan hydrogel pada 91 pesakit. 73% pesakit melaporkan tiada kesan sampingan atau rasa tidak selesa selepas suntikan, manakala 27% melaporkan kesan sampingan termasuk kekejangan, sakit, kaku lutut atau rasa mencucuk-cucuk.
Namun, kesemua kesan sampingan ini berkurangan dalam masa beberapa minggu kecuali satu kes; pesakit tersebut berasa tidak selesa lebih daripada satu bulan. Kajian yang sama juga melaporkan tiada alahan atau jangkitan kuman.
Penutup
Suntikan hydrogel mungkin masih terdengar asing bagi ramai orang di Malaysia, tetapi dengan komposisi yang direka khas, struktur molekulnya yang stabil dan keupayaannya berintegrasi dengan tisu synovial menjadikannya pilihan yang semakin mendapat perhatian sebagai alternatif jangka panjang untuk mereka yang mengalami osteoarthritis lutut gred 2 hingga 3.
Walaupun ia bukan penawar lengkap dan tidak sesuai untuk semua orang, data kajian klinikal sejauh ini menunjukkan hasil yang positif seperti kesakitan berkurang, fungsi sendi bertambah baik, dan kesan ini boleh bertahan lebih lama berbanding pilihan suntikan lain.
Kalau anda tertanya-tanya sama ada hydrogel sesuai untuk keadaan lutut anda, langkah terbaik adalah berbincang dengan doktor untuk penilaian yang tepat berdasarkan tahap OA dan keperluan anda.
Ingin tahu punca dan simptom sakit lutut terlebih dahulu? Baca maklumat lengkap di pautan: Sakit Lutut 101
Soalan Lazim (FAQ)
Berapa lama suntikan hydrogel bertahan berbanding HA?
Suntikan HA biasanya bertahan sekitar 6 bulan sebelum perlu diulang, kerana sifatnya yang semulajadi menyebabkan ia diserap oleh badan dari semasa ke semasa. Hydrogel pula direka untuk bertahan lebiha dari satu tahun. Kajian klinikal menunjukkan kesannya boleh kekal sehingga 52 minggu, dan sesetengah kajian jangka panjang melaporkan hasil yang berterusan sehingga 5 tahun selepas satu suntikan sahaja. Tempoh sebenar tetap bergantung pada tahap OA dan tindak balas individu.
Adakah suntikan hydrogel menyakitkan?
Suntikan hydrogel tidak menyakitkan kerana setiap pesakit akan diberikan bius setempat sebelum prosedur. Seperti prosedur suntikan sendi yang lain, pesakit hanya akan rasa sedikit tidak selesa semasa prosedur.
Selamat ke suntikan bahan sintetik dalam tubuh?
Ya selamat. Walaupun Polyacrylamide, bahan utama dalam hydrogel, bukan semulajadi dalam badan, tapi ia bukan sesuatu yang baharu dalam dunia perubatan. Bahan ini telah digunakan lebih 60 tahun, termasuk dalam pembedahan mata, urologi, dan pembedahan plastik, dengan rekod keselamatan yang baik tanpa sebarang kes serius dilaporkan kerana bahan ini. Tetapi, seperti rawatan lain, tetap ada risiko kecil kesan sampingan, jadi penilaian doktor sebelum rawatan adalah penting.
Apakah suntikan terbaik untuk sakit lutut — HA, steroid, atau hydrogel?
Setiap jenis suntikan ada kelebihan tersendiri bergantung pada keperluan pesakit. Steroid memberi kelegaan pantas tetapi jangka pendek dan tidak sesuai untuk kerap diulang. HA membantu melincirkan sendi tetapi perlu diulang setiap beberapa bulan. Hydrogel pula menawarkan kesan yang lebih tahan lama untuk OA. Pilihan terbaik bergantung pada tahap OA, gaya hidup, dan perbincangan dengan doktor anda.
Apakah kesan sampingan suntikan hydrogel?
Kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan adalah bengkak, kemerahan, atau rasa tidak selesa sementara di tapak suntikan, yang biasanya reda dalam beberapa hari. Suntikan hydrogel tidak sesuai untuk pesakit dengan jangkitan sendi aktif atau yang mempunyai implan tidak boleh diserap sedia ada dalam lutut. Seperti semua prosedur suntikan sendi, kajian dan penilaian oleh doktor diperlukan sebelum rawatan dijalankan.
Bolehkah osteoarthritis disembuhkan sepenuhnya?
Tidak. OA adalah keadaan degeneratif yang tidak boleh disembuhkan sepenuhnya, kerana tulang rawan yang rosak tidak dapat pulih semula secara semula jadi. Namun, dengan rawatan yang sesuai, daripada perubahan gaya hidup hinggalah suntikan sendi , simptom seperti kesakitan dan kekakuan boleh dikawal dengan baik, membolehkan pesakit terus aktif dan menjalani kehidupan seharian dengan selesa.
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?
Rasai Sendiri Kelainan Rawatan Sakit Lutut di Klinik Tuah
Ketahui mengapa di Klinik Tuah , klinik lutut kami berbeza dengan yang lain.

Klinik Sakit Lutut di Kuala Lumpur : Solusi Terbaik Berhampiran Anda
Pencarian klinik sakit lutut di Kuala Lumpur yang tepat dan terbaik bukanlah sesuatu yang mudah. Ia harus dilakukan dengan teliti dan dengan baik kerana Klinik sakit lutut yang terbaik itu







