Oleh Dr Hareez Noorman
Suasana hening pagi di klinik kami sering diselangi dengan wajah yang sudah tidak asing lagi. Encik Kamal, seorang pesakit yang kami kenali sejak sekian lama, kembali lagi untuk rawatan susulan “buang air lutut”.
Ini bukan kali pertama beliau hadir. Malah sudah tiga kali dalam tempoh setahun. Setiap kunjungan membawa cerita yang hampir sama: lutut yang kembali bengkak dan rasa tidak selesa akibat pengumpulan air radang.
Apabila ditanya tentang pilihan rawatan lain, Encik Kamal lebih selesa dengan rawatan yang sama. Baginya, kaedah ini sudah cukup membantu mengurangkan simptom dan membolehkan beliau kembali menjalani rutin harian dengan lebih baik.
Kandungan
Pendahuluan
Seorang pesakit saya kerap datang ke klinik kerana sakit lututnya berulang. Hampir setiap bulan, lututnya akan kembali bengkak dan dipenuhi air radang.
Apabila diperiksa, memang terdapat pengumpulan cecair radang di dalam sendi lutut. Jadi, kami lakukan rawatan buang air lutut disebabkan radang tersebut.
Selepas rawatan, beliau biasanya dapat bergerak dengan lebih selesa dan sakit lutut juga berkurangan. Namun, rawatan ini tidak merawat punca utama masalah lutut tersebut. Disebabkan itu, simptom boleh kembali semula selepas beberapa ketika.
Apabila saya bertanya mengapa beliau masih memilih rawatan ini walaupun pernah mencuba pelbagai jenis rawatan lain, beliau menjelaskan bahawa rawatan suntikan memberikan kelegaan yang lebih cepat dan praktikal untuk dirinya.
Situasi seperti ini sebenarnya agak biasa dalam kalangan pesakit sakit lutut, terutamanya mereka yang mengalami osteoarthritis atau keradangan sendi lutut. Persoalannya, apakah rawatan yang boleh membantu mengurangkan pengumpulan air radang pada lutut?
Dalam artikel ini, kita akan bincangkan beberapa jenis rawatan buang air lutut, termasuk rawatan awal di rumah dan rawatan perubatan yang biasa dilakukan di klinik.
Dari Mana Datangnya Air Lutut?
Air lutut, atau air radang dalam lutut, sebenarnya merujuk kepada efusi sendi yang berlaku apabila cecair berlebihan berkumpul di dalam sendi.
Dalam sendi kita, terdapat cecair dalam kuantiti yang kecil dan bertindak sebgai pelincir. Namun, dalam sesetengah kes, cecair sinovial dihasilkan secara berlebihan sebagai mekanisme perlindungan, ataupun atau saluran darah dan membran pecah atau bocor. Keadaan ini menyebabkan cecair berlebihan berkumpul di dalam sendi dan seterusnya menyebabkan lutut bengkak.
Biasanya, pengumpulan cecair ini berlaku akibat radang dalam lutut, menyebabkan lutut terasa sakit, bengkak dan kaku.
Apakah Punca Air Radang Lutut?
Terdapat beberapa punca terkumpulnya air dalam lutut. Antaranya termasuklah:
- Arthritis termasuklah osteoarthritis dan rheumatoid arthritis
- Kecederaan pada mana-mana struktur lutut
- Kecederaan ligamen atau meniscus
- Jangkitan pada sendi
- Gouty Arthritis
6 Rawatan Buang Air Lutut di Rumah dan Di Klinik
1. Kaedah R. I. C. E
Tidak kira apa punca sakit lutut anda, tapi pastinya rawatan buang air lutut paling awal yang disyorkan sejurus anda mula berasa sakit ialah kaedah R.I .C.E (atau PRICE).
Kaedah ini adalah protokol yang biasa dipratikkan untuk kecederaan muskoskeletal. R.I.C.E juga membantu mengurangkan bengkak dan kesakitan yang disebabkan oleh kecederaan ligamen, otot atau tendon.
Termasuk untuk masalah air radang lutut, anda boleh terus melakukan kaedah ini sebaik saja lutut terasa sakit dan mula membengkak.
Apa itu R.I.C.E? Adakah ia bermaksud menyapu nasi pada kawasan bengkak akibat air radang?
Ia adalah akronim untuk setiap langkah yang anda perlu lakukan.
R (Rest): Rehatkan lutut anda daripada sebarang aktiviti sejurus selepas kecederaan (atau selepas simptom kelihatan). Jangan paksa lutut anda bekerja kerana ia boleh memburukkan kecederaan dan bengkak.
Tetapi, ia bukan bermakna anda perlu hanya baring atau pegun. Anda masih boleh berjalan dalam jarak yang pendek atau melakukan senaman regangan.
I (Ice): Untuk 72 jam pertama selepas kecederaan, tuam lutut anda dengan ais. Ais membantu mengurangkan radang lutut, melegakan rasa mencucuk dan mengurangkan bengkak. Tuam ais selama 10 hingga 20 minit, setiap 3 hingga 4 jam.
Jangan tuam ice pack terus pada kawasan air radang lutut. Sebaliknya, balut dengan tuala nipis untuk elakkan melecur atau kerosakan tisu.
Tips: Tiada ice pack? Anda boleh menggunakan botol air yang telah dibekukan, pek sayuran sejuk beku, atau kain basah yang dibekukan di dalam beg plastik.
C (Compression): Pembalut lutut membantu mengurangkan pengumpulan air radang pada lutut. Anda boleh menggunakan pembalut lutut, kain atau sarung lutut. Namun, jangan balut terlalu ketat supata aliran darah tidak terganggu.
E (Elevation): Angkat kaki yang bengkak melepasi paras jantung. Teknik ini membantu mengalirkan cecair radang pada lutut ke arah sistem vena dan limfa dan mengurangkan tekanan pada tisu lutut. Hasilnya, bengkak dan rasa tegang pada lutut beransur lega.
Anda boleh meletakkan bantal di bawah betis untuk sokongan. Lakukan langkah ini 20-30 minit bagi setiap sesi. Anda boleh mengulang kaedah ini beberapa kali sehari.
2. Ubat Tahan Sakit
Ubat over-the-counter (OTC) juga merupakan antara rawatan buang air lutut yang boleh dilakukan pada peringkat awal. Ubat NSAIDs seperti ibuprofen dapat membantu mengurangkan radang yang menyebabkan pengumpulan air radang menjadi lebih teruk, terutamanya jika anda mempunyai arthritis.
Namun, sekiranya air radang lutut itu berpunca daripada jangkitan, segera dapatkan rawatan di hospital atau klinik untuk pemeriksaan dan antibiotik yang sesuai.
3. Bersenam
“Bersenam? Nak bergerak pun susah, ni kan pula nak bersenam!”
Keluh Nicky Jonah (bukan nama sebenar).
Kalau difikirkan semula, bukankah rawatan awal menyarankan kita untuk merehatkan lutut? Jadi mengapa pula bersenam menjadi antara rawatan buang air lutut?
Sebenarnya, bersenam boleh membantu mengurangkan air radang lutut, serta melegakan sakit dan bengkak.
Semasa bersenam, otot kita akan menguncup dan membantu “mengepam” cecair radang yang terkumpul kembali ke sistem vena dan limfa. Tanpa sebarang pergerakan, air lutut akan terkumpul lebih banyak dan menyebabkan lutut anda semakib bengkak.
Antara senaman yang anda boleh lakukan ialah senaman berimpak rendah seperti basikal atau berenang.
Anda juga boleh mencuba senaman regangan di rumah. Senaman ini membantu menguatkan otot dan mengurangkan sakit lutut tanpa menambah tekanan pada sendi.
Antara senaman regangan termasuklah:
- Ankle pumps: Baring atau duduk dengan selesa. Tinggikan kaki sehingga melebihi paras jantung. Halakan hujung jari kaki anda ke hadapan, sejauh yang boleh. Bayangkan seperti anda menekan pedal minyak kereta. Kemudian, tegakkan jari kaki anda menghala ke arah badan/ lutut sejauh mungkin. Ulang gerakan ini sebanyak 10- 15 kali sebanyak 3 hingga 4 kali sehari.
- Quad sets: Baring dengan kaki diluruskan. Ketatkan otot peha dengan menolak belakang lutut ke bawah seolah- olah anda menekan katil. Tahan selama 10 saat. kemudian kembali ke kedudukan asal.
- Heel slides: Baring dengan kaki lurus, Tarik tumit anda ke arah lutut perlahan-lahan. Bengkokkan lutut sejauh yang selesa.
- Straight leg raises: Baring dengan satu kaki lurus dan satu kaki dibengkokkan. Angkat kaki yang lurus perlahan-lahan sehingga 45 darjah. Tahan selama 5 saat, kemudian rehatkan kaki itu.
Hentikan senaman sekiranya sakit lutut anda makin teruk.
4. Terapi Panas vs Sejuk
Dalam bahagian rawatan buang air lutut sebelum ini, kita telah membincangkan tentang kaedah R.I.C.E. Ais ialah salah satu “senjata” utama untuk mengurangkan rasa sakit lutut akibat air radang.
Terdapat juga terapi panas untuk mengurangkan sakit lutut.
Tapi, bila perlu menggunakan terapi panas? Dan bila pula terapi sejuk lebih sesuai sebagai rawatan awal buang air radang?
Terapi ais sesuai digunakan pada peringkat awal, iaitu dalam tempoh 24 hingga 72 jam pertama selepas kecederaan atau simptom mula kelihatan. Ais membantu meredakan radang dan mengurangkan pengumpulan air radang dengan mengecutkan salur darah.
Terapi panas pula biasanya digunakan selepas 48 -72 jam. Terapi panas menolong meningkatkan aliran darah, melegakan otot yang tegang dan meningkatkan fleksibiliti. Jadi, lutut anda terasa lebih selesa, kurang tegang dan kaku.
Namun, elakkan menggunakan terapi panas sekiranya bengkak masih ketaea atau terasa panas apabila disentuh.
5. Mengurut
Anda juga boleh mengurut lutut anda sebagai salah satu langkah rawatan buang air lutut.
Gunakan tapak tangan atau jari untuk mengurut kawasan bengkakke arah sistem limfa seperti bahagian belakang lutut atau paha atas.
Urut secara perlahan dan lembut untuk mengelakkan tekanan berlebihan, terutama semasa lutut sedang meradang atau sakit.
Kaedah urutan ini sesuai dilakukan bersama rawatan buang air radang yang lain seperti kaedah R.I.C.E.
Namun, sekiranya lutut anda terlampau sakit, bengkak atau anda mengalami demam, sila dapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu.
6. Suntikan Buang Air Radang
Jika anda telah mencuba rawatan di atas tetapi keadaan tidak bertambah baik, satu lagi rawatan buang air radang yang disyorkan ialah melalui suntikan di klinik atau hospital.
Ini merupakan prosedur ringkas di mana doktor akan menggunakan jarum kecil untuk mengeluarkan air radang daripada sendi lutut.
Rawatan ini berkesan untuk mengurangkan bengkak, sakit dan kekauan, malah anda mungkin akan dapat merasai kesannya hampir serta-merta.
Biasanya doktor akan menggunakan bius setempat sebelum prosedur dilakukan bagi mengurangkan rasa sakit dan ketidakselesaan.
Penutup
Bengkak lutut akibat air radang semestinya tidak selesa, namun dengan rawatan yang betul, bermula daripada rumah amat penting dalam membantu mengurangkan bengkak, air radang berkumpul dan membantu anda selesa bergerak tanpa rasa sakit.
Dapatkan panduan lengkap sakit lutut di sini: Sakit Lutut 101
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?
Rasai Sendiri Kelainan Rawatan Sakit Lutut di Klinik Tuah
Ketahui mengapa di Klinik Tuah , Rawatan Lututnya berbeza dengan yang lain

5 Klinik Pakar Sakit Lutut Shah Alam & Klang : Rawatan Dan Kos
Oleh Dr Hareez Noorman Dikemaskini pada 9 Mei 2026 Di klinik, ramai datang dengan aduan sama: sakit lutut bila berdiri lama, susah nak solat, tak boleh







