- Oleh Dr Hareez Noorman
- Published: 20/07/2026
Pakar kesihatan mengesyorkan tidur berbaring sisi sebagai
posisi paling baik untuk kesihatan. Ia bantu jalan pernafasan kekal terbuka,
kurangkan dengkuran, malah baik untuk kesihatan tulang belakang.
Tapi percaya tak kalau tidur mengiring ada sisi buruknya?
Kandungan
Pendahuluan
Kerja 8 jam, berkejar kejar LRT atau menunggu dalam trafik. Sampai
rumah, katil memanggil-manggil, tunggu waktu saja untuk lepaskan penat lelah,
kan?
Tapi macam mana kalau tidur pun terganggu sebab sakit lutut
pada waktu malam? Baru je nak lelapkan mata, tiba-tiba lutut mula berdenyut
atau terasa sakit yang menusuk. Peliknya, siang hari lutut okay je, boleh
jalan, boleh buat kerja macam biasa.
Tapi bila dah nak rehat, sakit tu pula yang datang
menyerang. Apa salahnya? Apa yang tak kena?
Artikel kali ini akan bedah antara punca kenapa anda sakit
lutut waktu tidur, termasuk gaya tidur anda!
Kenapa Lutut Sakit Pada Waktu Malam?
Penurunan Hormon Kortisol
Kortisol adalah hormon yang mengawal keradangan dalam badan. Apabila waktu malam, tatkala badan mula relaks dan keletihan, tahap kortisol yang rendah mula tunjukkan kesan buruk pada lutut anda. Penurunan ini menyebabkan tahap keradangan meningkat, dan ini yang buat sakit lutut terasa lebih ketara berbanding siang hari.
Pengeluaran Endorfin Berkurangan
Endorfin adalah satu hormon yang memberi anda rasa “gembira” dan tidak rasa sakit. Hormon ini bertindak sebagai penahan sakit semula jadi yang menyekat isyarat sakit sampai ke otak.
Endorfin biasanya dirembeskan tatkala anda sedang stres, atau ketika badan sedang aktif. Bukan hanya ketika anda sedang bekerja keras, atau bersenam atau sedang sedih dan tertekan, endorfin juga dilepaskan tatkala anda sedang bergelak ketawa, atau ketika berjemur di bawah matahari.
Jadi anda boleh membuat kesimpulan, apa yang terjadi kala malam menjelma?
Ketika malam menjelma atau anda telah mula “clock-out” dari tempat kerja, secara tidak langusng, badan serta otak pun mula masuk fasa berehat, dan endorfin pun mula berkurang dalam badan.
Kekurangan hormon endorfin dalam badan meningkatkan isyarat sakit dari lutut yang dihantar ke otak. Jadi rasa sakit lutut yang sebenarnya “tersekat” kini dihantar secara langsung ke otak. Oleh sebab itu, sakit lutut pada waktu malam lebih terasa berbanding siang hari.
Cecair Sinovial Melikat
Sama seperti losyen badan yang pekat dalam tiub tapi jadi cair dan licin apabila digosok ke kulit, cecair sinovial juga menjadi kurang likat apabila ada pergerakan, dan sebaliknya, memekat semula bila sendi diam pegun tanpa bergerak.
Cecair sinovial ialah cecair dalam sendi yang bertindak sebagai pelincir antara sendi. Cecair ini bersifat thixotropic, iaitu apabila cecair ini hanya statik dalam atau sekitar sendi, ia menjadi lebih likat (macam sos tomato dalam botol!).
Dengan kurangnya pelincir di sekitar sendi, geseran antara sendi meningkat dan sendi jadi lebih kaku untuk bergerak, yang menyebabkan sakit lutut pada waktu malam secara tiba-tiba.
Faktor Graviti
Tahukah anda, graviti juga menjadi antara faktor sakit lutut pada waktu malam?
Apabila anda berdiri atau bergerak, graviti membantu menarik cecair dan radang dari bahagian atas badan ke bawah, manakala pergerakan otot pula membantu mengepam cecair ini ke dalam sistem limfa untuk dibuang.
Apabila anda berbaring, badan berada dalam kedudukan mendatar dan arah kesan graviti ke atas cecair badan turut berubah. Fungsi “pam” otot ini jadi kurang aktif tanpa pergerakan. Hasilnya, cecair radang berkumpul di dalam dan sekitar sendi lutut. Malah, pengumpulan ini menyebabkan tekanan dalaman yang tinggi dan menyebabkan lutut anda rasa berdenyut-denyut semasa tidur.
Punca Utama Sakit Lutut Pada Waktu Malam
Osteoarthritis
Osteoarthritis adalah penyakit di mana tulang rawan menipis dan haus. Penipisan ini menyebabkan ruang sendi lutut mengecil dan merapat, menjadikan permukaan sendi lebih mudah bergeser antara satu sama lain. Menurut Arthritis Foundation, keadaan ini boleh memburuk apabila anda berbaring, kerana sendi ini makin menekan antara satu sama lain dan menambah geseran.
Malah, tulang di bawah rawan (subchondral bone) boleh menerima tekanan berbaring. Hentaman demi hentaman daripada pergerakan fizikal sepanjang hari menyebabkan struktur mikro dalam tulang ini menanggung tekanan berterusan, dan ini boleh membentuk microfracture serta merosakkan sistem saliran darah ke kawasan tersebut.
Gout
Bukan hanya kerana makanan laut, gout juga boleh menyebabkan sakit lutut pada waktu malam. Asid urik yang membentuk ketulan kristal di dalam sendi menyebabkan lutut anda berdenyut dan susah untuk tidur.
Apabila kita tidur, suhu badan yang menurun menukarkan asid urik kepada ketulan kristal pada permukaan sendi. Pembentukan kristal ini boleh menghantar isyarat kepada sistem imun badan sebagai benda asing yang menyerang tubuh badan kita. Akibatnya, cecair radang terkumpul dan menyebabkan sakit lutut yang melampau.
Bursitis
Keadaan ini berkait rapat dengan posisi tidur anda. Tidur dalam posisi mengiring menekan kantung bursa yang sedia ada meradang. Apabila bursa yang bengkak ini ditekan oleh kaki yang satu lagi, bahagian dalam lutut mengalami tekanan berlebihan, dan tekanan berterusan ini menyebabkan anda rasa sakit lutut pada waktu malam dan rasa sensasi seperti terbakar.
Koyakan Meniscus
Jika anda mengalami koyakan meniskus, kemungkinan besar sakit lutut lebih terasa pada waktu malam. Ini kerana pada waktu malam, dengan kurangnya pergerakan dan berat badan yang menekan lutut, tekanan pada tulang akibat posisi berbaring menyebabkan tulang bergeser secara langsung dengan meniskus yang cedera, menyebabkan keradangan.
Gaya Tidur Tentukan Jenis Sakit Lutut Anda
Tidur Mengiring (Meringkuk)
Sekiranya anda suka tidur mengiring dan meringkuk, kemungkinan besar sakit lutut anda berpunca daripada bursitis. Ini kerana tekanan daripada kaki atas terus pada bahagian dalam sendi lutut.
Manakala bagi koyakan meniskus pula, ia bukan hanya tercetus oleh posisi mengiring, tetapi turut boleh berlaku pada posisi terlentang atau mana-mana posisi yang memberi tekanan pada lutut.
Tidur Terlentang
Jika anda kerap sakit lutut ketika tidur terlentang , kemungkinan besar puncanya berkaitan dengan tempurung lutut anda. Apabila kaki lurus sepenuhnya, tempurung lutut (patella) tertekan terus ke tulang femur, dan ini boleh dedahkan beberapa masalah berbeza.
Jika anda rasa sakit berdenyut-denyut dalam sendi lutut, ini petanda anda mengalami osteoarthritis; tulang rawan yang dah haus menajdikan tempurung lutut bergeser atau tertekan terus dengan tulang.
Jika sakit terasa seperti sakit yang lenguh (dull ache) semasa anda tak bergerak, ini kemungkinan anda mengalami patellar tendinitis iaitu radang tendon antara tempurung lutut dan tulang kering.
Manakala jika tempurung lutut terasa seperti bergesel, terutama bila otot peha anda sedang relaks, ini mungkin tanda PFPS (patellofemoral pain syndrome).
Tidur Meniarap
Sekiranya anda sakit lutut ketika tidur meniarap pada waktu malam, anda mungkin mengalami lutut pelari atau patellofemoral pain syndrome (PFPS).
Posisi ini sebenarnya menyebabkan lutut anda over-straighten atau hyperextend, disebabkan kaki tergantung rata di tepi tilam. Lama-kelamaan, tempurung lutut menanggung tekanan daya pulas (torsional stress), mewujudkan geseran dan memburukkan mana-mana masalah sendi yang sedia ada.
Cara Tidur Yang Betul Untuk Kurangkan Sakit Lutut
Letak Bantal Antara Lutut
Untuk anda yang suka tidur mengiring, anda boleh mengurangkan tekanan pada sendi dengan bantal kecil antara lutut. Bantal dapat mengekalkan kedudukan pinggul dan lutut agar sejajar.
Anda juga boleh meletakkan bantal bawah betis untuk membiarkan bendalir mengalir dan tidak terkumpul pada sendi lutut.
Regangan Ringan Sebelum Tidur
Sepanjang hari, pergerakan kita sebenarnya bantu cecair dalam sendi lutut terus bergerak dan kurangkan keradangan. Tapi bila kita tidur, sendi ikut “tidur”, kaku dan lebih sensitif pada keradangan.
Sebab tu regangan ringan 5-10 minit sebelum baring boleh membantu. Tak perlu apa-apa yang berat, cuma gerakan perlahan bengkokkan dan luruskan lutut untuk legakan sakit lutut pada waktu malam.
Kekal Aktif Pada Waktu Siang
Lutut dah sakit, kenapa kena gerak lagi?
Tapi sebenarnya apabila anda kekal aktif pada waktu siang, ia membantu mengurangkan keradangan dan biarkan cecair synovial melindungi dan melicinkan lagi pergerakan antara sendi.
Tidak perlu angkat berat atau lari 21km, cukup dengan briskwalk atau senaman regangan setiap hari.
Tanda-Tanda Sakit Lutut Pada Waktu Malam
- Sakit berulang pada waktu tertentu
- Lutut bengkak, memerah dan terasa hangat apabila disentuh
- Sakit lutut berterusan hingga mengganggu tidur
Penutup
Sakit lutut pada waktu malam boleh terjadi akibat perubahan hormon badan sendiri atau kerana posisi tidur yang tak sesuai dengan keadaan lutut anda. Sekrianya sakit lutut anda berterusan atau makin teruk, segera dapatkan pemeriksaan doktor untuk ketahui punca dan rawat sakit anda dari awal.
Tak Pasti Mengapa Anda Sakit Lutut? Ketahui Puncanya di sini: Sakit Lutut 101
Soalan Lazim
Sakit lutut waktu malam tanda apa?
Selalunya tanda badan kurang aktif dan sendi kurang bergerak. Ia juga boleh menjadi tanda osteoarthritis, bursitis, gout atau koyakan meniscus.
Kenapa lutut sakit bila nak tidur je?
Ia kerana faktor perubahan hormon kortisol (hormon anti-radang) dan endorfin, cecair sendi jadi likat bila tak bergerak, dan bendalir mula berkumpul di sekitar lutut semasa berbaring.
Tidur mengiring ke lurus, mana lebih elok untuk sakit lutut?
Bergantung pada punca sakit anda. Tidur mengiring boleh tekan bahagian dalam lutut (bursitis), manakala baring lurus atas belakang pula boleh sebabkan hyperextension dan tekan tempurung lutut.
Sakit lutut waktu malam boleh hilang sendiri ke?
Kadang-kadang ya, terutama kalau puncanya sekadar posisi tidur yang salah.
Tapi kalau sakit berterusan atau makin teruk, lebih baik dapatkan pemeriksaan supaya punca sebenar dapat dikenal pasti.
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?
Rasai Sendiri Kelainan Rawatan Sakit Lutut di Klinik Tuah
Ketahui mengapa di Klinik Tuah , klinik lutut kami berbeza dengan yang lain.

6 Jenis Sakit Lutut Lazim di Malaysia dan Rawatannya
Eh… kenapa lutut aku bunyi kruk krak bila bangun dari duduk? Osteo ke ni? Tapi aku muda lagi, takkan dah sakit lutut macam orang tua? Kandungan Pendahuluan Haa, nak tahu








