fbpx Skip to main content
Sakit Lutut

Adakah Ubat Sakit Lutut Tradisional Masih Relevan? Apa Jenis Yang Betul Berkesan?

By November 1st, 2024No Comments

Baru-baru ini, kami dikunjungi oleh seorang bekas pesakit yang membawa berita gembira.

Lututnya kini bebas dari kesakitan! Kami bersyukur atas rahmat Allah yang diberikan kepadanya. Yang menariknya, ada satu tips yang beliau kongsikan;

“Acik ada minum air timun, lega sakit lutut!”

Eh, betul ke timun boleh jadi penawar?

Benar! Timun adalah salah satu ubat sakit lutut tradisional yang telah lama digunakan sejak dari nenek moyang kita lagi! Bukan cuma timun, terdapat banyak lagi herba, dan kaedah lain yang terbukti mujarab untuk menghilangkan sakit lutut. Jom bersama kami mengupas lagi ubat sakit lutut tradisional mana lagi yang bagus diamalkan.

Sakit lutut sering kali mengganggu aktiviti harian dan kualiti hidup seseorang, dan boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kecederaan, arthritis, dan terseliuh.

Walaupun terdapat pelbagai rawatan moden seperti suntikan gel lutut dan NSAIDs, rawatan tradisional masih terus mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat dan terus diamalkan tidak mengira generasi.

Dalam artikel ini, kita akan mengupas 4 jenis kaedah perubatan tradisional yang menjadi rahsia nenek moyang kita.

Perubatan tradisional China telah wujud sejak beribu tahun lamanya dan terus relevan hingga kini. Kaedah seperti akupuntur, teh herba, dan terapi moxa kekal popular sebagai perubatan alternatif oleh masyarakat di seluruh dunia.

Menariknya, ahli tabib tidak hanya melihat masalah lutut dari sudut anatomi sahaja. Mereka percaya faktor-faktor lain seperti angin, kelembapan, kecederaan, penyakit organ dalaman, gangguan aliran Qi (tenaga hidup), dan kekurangan sel darah merah juga boleh menjadi punca sakit lutut.

Berikut adalah dua kaedah rawatan yang sering digunakan dalam perubatan tradisional China untuk merawat sakit lutut.

Imej akupuntur yyang merupakan kaedah rawatan sakit lutut tradisional China

Akupuntur adalah salah satu kaedah rawatan utama dalam perubatan tradisional China. Ia melibatkan teknik memasukkan jarum halus pada titik-titik akupuntur tertentu di badan untuk mengawal aliran Qi dan merangsang pengeluaran hormon dalam badan.

Banyak kajian klinikal telah menyokong keberkesanan akupuntur dalam merawat pesakit osteoarthritis lutut. Apabila jarum halus dicucuk pada permukaan kulit, ia membebaskan hormon endorfin dan monoamines, yang berfungsi sebagai ubat tahan sakit semulajadi. Pengaliran darah yang lebih baik juga membantu mengurangkan keradangan pada sendi lutut, dan memberi lebih keselesaan kepada pesakit.

Malah, satu kajian telah menunjukkan bahawa akupuntur lebih berkesan berbanding ubat NSAIDs seperti diclofenac dalam merawat osteoarthritis lutut.

Selain itu, pesakit yang menjalani pembedahan tukar lutut juga boleh mendapat manfaat daripada akupuntur. Rawatan ini boleh membantu mengurangkan kesakitan pasca pembedahan dan mengurangkan kebergantungan kepada ubat tahan sakit.

Imej menunjukkan terapi moxa ubat sakit lutut tradisional China

Terapi ini mungkin kedengaran asing berbanding akupuntur, tetapi terapi moxa atau moxibustion sudah lama diamalkan dalam perubatan tradisional China. Terapi ini juga digunakan sebagai salah satu kaedah alternatif kepada rawatan moden.

Terapi moxa melibatkan penggunaan herba mugwort yang dibakar dan dihalakan pada titik-titik tertentu pada badan untuk habanya diserap ke dalam tubuh. Haba yang terhasil daripada pembakaran herba ini dipercayai mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Bahan-bahan aktif yang terkandung dalam herba mugwort ini diketahui mempunyai sifat anti-radang yang bagus untuk sakit lutut. Seperti akupuntur, terapi moxa berfungsi untuk memperbaiki pengaliran darah dan Qi dengan melancarkan aliran darah yang tersekat dan membantu memperbaiki peredaran dalam tubuh. Pengaliran darah yang lebih baik membantu menyampaikan oksigen dan nutrien ke kawasan yang terjejas, seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan.

Haba daripada terapi ini juga dipercayai dapat ‘membuang’ unsur sejuk dan lembap dalam sendi. Dalam perubatan tradisional China, elemen sejuk dan lembap dianggap sebagai punca utama kesakitan sendi, termasuk lutut.

Dengan mengeluarkan elemen negatif ini, pesakit dapat merasakan kelegaan daripada kesakitan dan ketegangan pada sendi lutut mereka.

Tamadun Islam juga terkenal dengan sumbangan besar dalam bidang perubatan, dan tokoh-tokoh perubatan Islam seperti Al-Razi memainkan peranan penting dalam perkembangan perubatan Islam tradisional.

Dalam konteks rawatan sakit lutut, perubatan tradisional Islam menawarkan pelbagai kaedah yang menggabungkan penggunaan herba, terapi panas dan sejuk, serta rawatan berbekam yang berasaskan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Imej berbekam sebagai salah satu ubat sakit lutut tradisional Islam

Salah satu kaedah rawatan yang mashyur dalam perubatan tradisional Islam ialah berbekam. Berbekam merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW, dan ia disyorkan kerana pelbagai manfaat kesihatannya.

Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam”.

(Riwayat Al Tarmizi)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bekam merujuk kepada tindakan mengeluarkan darah kotor dengan cara menoreh sedikit pada bahagian yang ingin dirawat (biasanya kepala atau belakang badan), diikuti dengan cawan panas yang ditelangkupkan untuk menghisap darah tersebut.

Terdapat beberapa jenis bekam yang digunakan dalam rawatan tradisional, termasuk:

Bekam KeringBekam ini tidak melibatkan pengeluaran darah, tetapi menyedut permukaan kulit bagi memperbaiki aliran darah dan melegakan ketegangan otot.
Bekam BasahPermukaan kulit ditoreh kecil sebelum cawan digunakan untuk mengeluarkan darah kotor dari badan.
Bekam ApiBekam ini menggunakan api sebagai medium untuk membuka ruang hampagas pada kawasan bekam.
jenis bekam

Radang sendi dan sakit lutut boleh dirawat melalui bekam kerana kaedah ini membantu meningkatkan pengaliran darah di kawasan yang terjejas, mengurangkan keradangan serta ketegangan otot, serta membuang toksin yang terkumpul di kawasan tersebut.

Imej habbatus sauda yang merupakan antara ubat sakit lutut tradisional Islam

Habbatus Sauda (juga dikenali sebagai jintan hitam) adalah herba yang telah digunakan sejak beribu tahun dahulu dalam pelbagai perubatan tradisional. Keistimewaan Habbatus Sauda bukan hanya datang dari khasiat perubatannya, tetapi juga dari sudut pandang Islam. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

“Pada Habbatus Sauda itu terdapat ubat bagi segala penyakit kecuali mati.”

Habbatus Sauda telah menjadi salah satu pilihan tradisional yang dipercayai untuk merawat sakit lutut akibat arthirtis. Sifat anti radang herba ini menjadikannya ubat yang sangat berkesan dalam merawat radang sendi dan mengurangkan kesakitan.

Malah, terdapat kajian menunjukkan bahawa seseorang yang menyapu minyak Habbatus Sauda secara berkala pada kawasan lutut yang sakit dapat mengurangkan kesakitan dan radang dalam kalangan pesakit osteoarthritis.

Minyak ini membantu melancarkan pengaliran darah di kawasan yang terjejas dan mengurangkan bengkak pada sendi lutut.

imej menunjukkan air timun yang merupakan antara ubat sakit lutut tradisional

Mari kita imbas kembali pada cerita bekas pesakit di awal artikel, iaitu penggunaan timun sebagai ubat sakit lutut tradisional. Mengapa boleh terjadi sedemikian?

Timun terkenal dengan sifatnya yang menyejukkan dan dapat membantu meredakan kesakitan sendi. Kajian menunjukkan bahawa ekstrak Q-actin yang terkandung dalam timun, dapat memperbaiki fungsi lutut dan melegakan sakit sendi pesakit osteoarthritis ringan hingga tahap sederhana.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Dovepress 2018, seramai 122 peserta yang didiagnosis mempunyai osteoarthritis lutut mendapati sakit lututnya berkurangan secara drastik setelah 180 hari kajian, hanya setelah mengambil 10mg ekstrak timun ini.

Selain itu, timun mengandungi antioksidan seperti flavonoids dan tannins, yang turut membantu mengurangkan radang sendi, serta 97% air yang mengekalkan kandungan hidrasi dalam badan.

Selain timun, terdapat beberapa bahan tradisional lain yang boleh didapati di dapur anda untuk merawat sakit lutut, termasuk:

  •      Halia
  •      Kunyit
  •      Kulit Kayu Manis
  •      Minyak Omega 3

Herba-herba ini boleh diambil begitu saja, dalam masakan atau dikisar untuk dijadikan makanan atau minuman. Namun, banyak herba tradisional kini dirumus dalam bentuk suplemen untuk kemudahan pengambilan harian.

Baca lebih lanjut tentang suplemen tradisional di sini.

Mengurut bukan sahaja melegakan lenguh badan, ia juga merupakan rawatan tradisional untuk sakit lutut. Mengurut dapat membantu mengurangkan ketegangan otot, mempercepatkan proses pemulihan, dan memulihkan fungsi sendi dan pergerakan.

Mengurut juga dapat mengurangkan radang sendi, mempercepatkan proses pemulihan serta memberi kelegaan sementara pada kecederaan otot.

Urutan yang disertai dengan senaman regangan dan terapi sejuk dan panas (hot/cold pack) memberi kesan yang lebih efektif.

imej menunjukkan urutan lutut yang merupakan  ubat sakit lutut tradisional

Ubat sakit lutut tradisional menawarkan pelbagai pendekatan yang telah terbukti berkesan sepanjang zaman dan menekankan penyembuhan semula jadi serta penjagaan menyeluruh.

Seperti mana-mana rawatan, penting untuk berjumpa pakar perubatan untuk memastikan punca sakit lutut dan mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

Dengan menggabungkan kaedah tradisional dengan rawatan moden, anda boleh memahami cara penjagaan sakit lutut seterusnya dapat menjalani hidup yang lebih berkualiti.

Tips Sakit Lutut: Ubat Sakit Lutut Apa Yang Anda Boleh Ambil?

Sakit Lutut 101 : Semua Yang Anda Patut Tahu (Panduan Lengkap)