Bayangkan ni macam pertandingan realiti TV. Suntikan gel lutut datang dengan bagai enjin Caltex, lancar melincir antara sendi. Rawatan pemulihan semula jadi pula ‘natural warrior’, guna kuasa darah sendiri untuk baik pulih. Steroid? Dia ala-ala ‘fast & furious’—kurangkan sakit dengan pantas, tapi ada risiko ‘plot twist’ di hujung cerita!
Kandungan
Pendahuluan
Pernah tak dengar orang yang dah cuba macam-macam rawatan lutut? Sekejap mengurut, sekejap suplemen. Tapi sakit masih tak hilang, malah makin teruk?
Bukan sebab rawatan tak bagus, tapi mungkin kerana salah pilih. Bila punca sebenar tak ditangani, kerosakan lutut terus berlaku tanpa disedari. Setiap kali tulang rawan rosak, ia membebaskan enzim dan protein toksik yang mempercepatkan osteoarthritis.
Jadi, dalam artikel ini, kita akan kenali tiga rawatan sakit lutut yang lebih intensif, dan mungkin boleh mengelakkan pembedahan tukar lutut!
Suntikan Gel Lutut
Suntikan gel lutut mengandungi molekul Hyaluronic Acid (HA), sejenis cecair pelincir di antara sendi yang melicinkan pergerakan sendi.
HA dihasilkan secara semula jadi dalam badan manusia, terutama di mata, kulit dan sendi. Cecair HA bertindak menyerap hentakan pada lutut, dan juga melicinkan geseran antara sendi.
Masalahnya, apabila umur semakin meningkat ataupun ada osteoarthritis, cecair semula jadi ini makin berkurang. Makanya, sendi antara tulang lutut lebih cepat bergeser antara satu sama lain, tulang rawan makin menipis, sakit lutut pun datang menyapa!
Jadi, untuk mengatasi sakit lutut akibat osteoarthritis, suntikan gel lutut HA ini digunakan sebagai pelincir sementara. Cecair HA ini diekstrak daripada tulang rawan haiwan dan mempunyai dua jenis;
- Monolink – Lebih cair, kena suntik lebih kerap.
- Crossed link – Lebih pekat, tahan lama dalam sendi.
Bagaimana HA berfungsi?
Tahukah anda, sebenarnya sendi kita tidak mendapat nutrien daripada darah, tetapi daripada bendalir dalam sendi lutut yang dikenali sebagai cecair synovial. Cecair synovial inilah pelincir antara sendi-sendi dan juga memelihara tulang rawan.
Apabila gel HA masuk ke dalam sendi, ianya merangsang penghasilan cecair synovial dalam sendi ini dan membekalkan nutrient yang hilang pada tulang rawan.
Lama kelamaan, geseran yang menyebabkan sakit dan radang sendi ini pun berkurang.
Siapa yang patut Mendapatkan HA ini?
Suntikan gel lutut digunakan untuk merawat osteoarthritis tahap awal hingga sederhana. Kebiasaannya, suntikan ini disyorkan untuk mereka yang menderita sakit lutut walaupun telah mendapat suntikan steroid, atau ubat-ubatan tidak berkesan.
Suntikan HA memfokuskan kepada masalah sendi seperti osteoarthritis dan tulang rawan yang mereput. Fungsi HA ini dapat melegakan keradangan pada sendi.
Dan perlu diingatkan suntikan gel HA ini hanyalah merawat masalah sendi lutut!
Jadi, sekiranya anda mengalami sakit lutut kerana masalah struktur seperti lutut lari, jangkitan pada lutut ataupun ligamen dan tendon koyak, suntikan gel lutut HA ini bukanlah rawatan yang tepat untuk anda!
Bila Suntikan Gel Lutut Mula Berkesan?
“Ku mohon sabar-sabar sebentar, beri aku waktu”
Seperti bait lagu Ungu- Aku Tahu, anda perlu bersabar untuk merasai keberkesanan suntikan gel lutut ini.
Berbeza dengan steroid, suntikan ini tidak akan berkesan sejurus selepas prosedur. Pada awalnya, kawasan suntikan akan bengkak dan anda dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti berimpak tinggi.
Rasa sakit akan mula berkurang selepas beberapa hari. Tetapi, kesan penuh HA mungkin hanya akan mula kelihatan selepas 4 minggu.
Berita baiknya, suntikan ini bertahan selama dua hingga enam bulan, malah boleh jadi sehingga setahun lamanya! Jika fungsi lutut semakin membaik, pembedahan tukar lutut dapat ditangguhkan!
Ketahui lebih lanjut tentang suntikan lutut HA dan kosnya di sini
Betul ke gel lutut boleh habis? Ketahui jawapannya di sini!
Suntikan Rawatan Pemulihan Semulajadi
Tiger Woods, Maria Sharapova, Kobe Bryant dan Chef Wan. Apakah persamaan antara nama-nama ini?
Mereka semua pernah menerima rawatan pemulihan semula jadi, bukan untuk kecantikan tapi untuk membantu merawat kecederaan mereka.
Rawatan ini adalah adalah salah satu cabang rawatan penjanaan semula tisu yang disyorkan oleh pakar ortopedik dan pakar perubatan.
Walaupun pada asalnya rawatan pemulihan semulajadi ini banyak digunakan untuk rawatan kecantikan, namun beberapa kajian telah menunjukkan keberkesan suntikan ini dalam mengurangkan sakit lutut serta meningkatkan fungsi lutut untuk jangka masa yang lama.
Jika suntikan gel HA hanya mensasarkan masalah pada sendi, suntikan ini ini lebih meluas. Rawatan pemulihan ini bertujuan untuk merawat masalah sendi, tendon, ligamen, tulang dan otot seperti kecederaan ACL dan patellar tendinitis.
Suntikan ini mengurangkan kerosakan tulang rawan, mengaktifkan mediator anti-radang, membantu mengurangkan keradangan dan mempercepatkan penyembuhan.
Bagaimana Rawatan Ini Berfungsi?
Rawatan ini menggunakan platelet dalam darah pesakit sendiri, Platelet ini kaya dengan faktor pertumbuhan (growth factor) yang membantu pemulihan tisu, menghasilkan sel baru, dan mengurangkan keradangan.
Proses:
- Doktor mengambil 5-8ml darah pesakit.
- Darah diproses menggunakan mesin khas untuk mengasingkan komponen platelet yang kaya dengan faktor pertumbuhan.
- Komponen tersebut disuntik ke kawasan yang terjejas di bawah panduan ultrasound.

Untuk tendon atau ligamen,prosesnya sedikit berbeza. Suntikan pada kawasan terjejas boleh menyebabkan trauma kecil yang mencetuskan tindak balas penyembuhan semula jadi badan.
Faktor pertumbuhan daripada komponen platelet pula merangsang pembaikian tisu dan mempercepatkan pemulihan.
Namun perlu diingatkan, rawatan ini bukanlah dapat memulihkan osteoarthritis dan fungsi lutut sepenuhnya. Anda masih perlu berjaga-jaga ketika melakukan sukan lasak untuk mengelakkan daripada kembali tercedera.
Bila Rawatan Ini Mula Berkesan?
Oleh kerana rawatan ini menjana pemulihan dan pembaikan tisu dalam badan, jadi ia tidak akan berkesan dengan segera.
Sama seperti suntikan HA, lutut anda mungkin akan membengkak dan anda berasa tidak selesa untuk beberapa hari.
Kebanyakan pesakit akan mula merasa kesannya 2-3 minggu selepas suntikan. dan kebanyakan pesakit akan merasakan kebaikan sepenuhnya 6 minggu selepas prosedur. pada ketika ini, sakit lutut akan berkurang dengan ketara, dan pesakit boleh menggunakan lutut mereka secara lebih normal.
Suntikan HA atau Rawatan Pemulihan Semulajadi?
Malah, menurut carta palang di bawah, skor WOMAC dan IKDC menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang 12 bulan bagi rawatan pemulihan semulajadi. Peningkatan konsisten ini menunjukkan rawatan ini mengurangkan symptom dan meningkatkan fungsi lutut secara berterusan.
Suntikan Steroid
Berbeza dengan kedua-dua rawatan di atas, suntikan steroid dapat melegakan sakit lutut dan bengkak dengan segera, seawal 24-48 jam selepas suntikan.
Bagaimana Suntikan Steroid Berfungsi?
Steroid yang digunakan dalam suntikan ini, seperti kortikosteroid, mempunyai kesan anti-radang yang kuat. Ia membantu mengurangkan kesakitan dan ketegangan yang disebabkan oleh keadaan seperti osteoartritis atau tendinitis.
Steroid bekerja dengan menenangkan sistem imun, yang kadang-kadang menyebabkan keradangan berlebihan, dan mengurangkan tindak balas inflamasi dalam tisu-tisu sendi. Hasilnya, ini boleh memberikan kelegaan sementara dari kesakitan dan meningkatkan pergerakan sendi.
Mengapa Suntikan Steroid Kurang Disyorkan Untuk Jangka Panjang?
Walaupun suntikan steroid ini memang berkesan untuk kelegaan segera, namun ianya bukanlah Solusi jangka Panjang yang sesuai.
Kesan suntikan steroid biasanya bertahan sekitar 6 hingga 12 minggu sahaja. Sakit lutut dan radang akan datang kembali, dan anda mungkin akan mengambil suntikan yang kedua.
Namun, penggunaan steroid yang kerap mempercepatkan pereputan tulang rawan. Hasilnya, osteoarthritis anda akan menjadi lebih teruk.
Kos Suntikan Gel Lutut, Rawatan Pemulihan Semulajadi dan Suntikan Steroid di Malaysia
Jenis Rawatan | Anggaran harga (untuk satu lutut dan satu suntikan) | Keterangan |
Suntikan Gel Lutut | RM500 – RM7,000 | Bergantung kepada jenis dan kualiti gel HA yang digunakan. |
Suntikan Pemulihan Semulajadi | RM750 – RM3,000 | Menggunakan darah pesakit sendiri untuk merangsang penyembuhan |
Suntikan Steroid | RM200 – RM1,000 | Bergantung kepada jenis steroid dan klinik yang menyediakan rawatan |
Kesimpulan
Jadi yang mana paling berkesan untuk sakit lutut?
Jawapannya,setiap rawatan ada pro dan kontra. Kalau nak kelegaan segera walaupun bersifat sementara, suntikan steroid jawapannya tapi tak boleh terlalu kerap.
Suntikan gel lutut (HA) membantu kurangkan geseran untuk pergerakan lebih selesa, tapi kesannya bergantung pada tahap osteoarthritis.
Jika mahukan rawatan lebih tahan lama, rawatan penjanaan semula tisu menggunakan faktor pertumbuhan untuk pemulihan lutut secara beransur-ansur.
Tetapi yang paling utama, dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor terlebih dahulu supaya anda tak tersalah pilih rawatan.
Jangan biarkan lutut anda menderita kesakitan, dan hidup anda tidak keruan!
Ketahui Panduan Lengkap tentang Sakit Lutut Anda di Pautan Ini
FAQ
Apakah Kesan Sampingan Suntikan Gel Lutut?
Biasanya, lutut mungkin akan rasa panas, sedikit bengkak, sakit dan memerah beberapa hari pertama selepas suntikan. Anda disarankan untuk berehat dan tuam ais untuk membantu meredakan kesan sampingan ini. Kesan sampingan yang jarang berlaku ialah jangkitan pada sendi lutut.
Bolehkah saya berjalan selepas suntikan?
Berjalan ringan dibenarkan, namun elakkan daripada menambah beban pada lutut atau berjalan cepat / secara berlebihan
Mengapa lutut saya makin sakit selepas suntikan steroid?
Suntikan steroid mungkin akan menyebabkan badan memberi tindak balas keradangan sebelum kandungan steroid mula berfungsi mengurangkan radang. Disebabkan itulah anda mungkin akan rasa sakit 24 jam pertama selepas suntikan.
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?
Rasai Sendiri Kelainan Rawatan Sakit Lutut di Klinik Tuah