Kawan: Jom hiking!
Lutut: Jom MC je…

Kandungan
Pendahuluan
Muda-muda pun dah mula sakit lutut?
Ya, bunyinya macam pelik… tapi realitinya memang ramai anak muda, dah mula rasa sakit lutut walaupun baru awal 20-an. Dulu sakit lutut sinonim dengan orang berumur. Tapi sekarang, dengan perubahan gaya hidup, seperti banyak duduk, kurang bersenam, suka main phone sambil duduk bersila lama-lama, berat badan naik… semua ni buat anda sakit lutut di usia muda.
Dalam artikel ni, kita akan tengok kenapa lutut boleh sakit sebelum usianya, apa punca dia, dan cara mudah untuk jaga kesihatan lutut – sebelum makin parah. Jom baca sama-sama!
Mengapa Boleh Sakit Lutut Di Usia Muda?
Berat Badan Berlebihan (Obesiti)
Anda semua pasti tahu obesiti adalah pemangkin kepada banyak masalah kesihatan, termasuklah penyakit jantung, tekanan darah tinggi, dan sindrom metabolic (atau orang sebut penyakit 3 serangkai).
Sama seperti sakit sendi. Obesiti menambah beban yang berlebihan pada sendi lutut. Walaupun tidak kelihatan dengan mata kasar, namun sebenarnya berat yang berlebihan menambah tekanan sehingga 4 kali ganda pada lutut!
Tekanan yang berlebihan menyebabkan tulang rawan yang berfungsi menyerap hentakan dan pelincir antara sendi lutut haus dan menipis. Lama-kelamaan, geseran antara tulang dalam lutut makin meningkat.

Malah, menurut statistik, 19.5% individu dengan berat badan berlebihan (BMI 35-39.9) menghidapi osteoarthritis berbanding individu dengan BMI yang normal (3.7%). Malah, jurnal daripada American Academy of Orthopaedic Surgeon juga menyatakan bahawa individu yang obes berisiko untuk menjalani pembedahan tukar lutut sebanyak 20 kali ganda berbanding individu dengan berat badan normal.
Menurut arthritis foundation, penurunan berat badan sebanyak 5% juga dapat memberi impak positif pada fungsi lutut.
Osteoarthritis
Walaupun osteoarthritis biasanya berlaku pada individu berusia 50 ke atas, orang muda tidak terkecuali untuk mendapat radang sendi ini. Malah, kebanyakan individu berumur 30-an sudah mula menunjukkan tanda-tanda osteoarthritis pada usia muda, namun dilindungi oleh daya tahan sakit yang tinggi.
Jika warga emas mendapat osteoarthritis daripada penipisan tulang rawan sesuai peningkatan usia, terdapat beberapa punca yang memicu osteoarthritis di usia muda. Antaranya termasuklah;
- Berat badan berlebihan
- Gaya hidup sedentari atau tidak aktif
- Duduk dengan postur yang salah untuk jangka masa yang lama
- Sukan berimpak tinggi sepeti bola sepak dan hoki
- Mempunyai pekerjaan yang meletakkan beban berlebihan pada sendi lutut
- Mempunyai sejarah kecederaan sendi
- Atlet sukan
- Mempunyai ahli keluarga yang menghidapi osteoarthritis
- Mempunyai diabetes atau penyakit berkaitan tumbesaran
Antara simptom osteoarthritis di usia muda termasuklah;
- Sakit ketika menggerakkan lutut
- Rasa sakit apabila Kawasan yang terjejas ditekan
- Pergerakan terbatas
- Rasa keras atau kaku pada Kawasan lutut (sendi yang terjejas) selepas berehat seperti bangun tidur
- Bengkak
- Bunyi “pop” atau berdecit semasa lutut bergerak

Sakit Lutut Patellafemoral (PFPS)
Juga dikenali sebagai sakit lutut pelari, sakit lutut ini melibatkan bahagian depan lutut dan tempurung lutut (patella). Sakit lutut patellafemoral ini biasanya terjadi dalam kalangan atlet sukan terutamanya wanita dan belia.
Apabila bahagian hadapan lutut mempunyai orientasi yang tidak normal, patella mungkin teralih ke satu sisi permukaan tulang femur. Ini menyebabkan tulang femur bekerja lebih keras. Hasilnya, lutut anda terasa sakit, tidak selesa dan pedih dan terjadilah PFPS ini.
Sakit lutut patellofemoral mengganggu keseimbangan biomekanik kaki. Antara puncanya termasuk otot yang ketat, kestabilan kaki dan pinggul yang lemah, iliotibial band yang tegang, serta fungsi otot quadriceps yang tidak seimbang atau lemah.
Terdapat juga faktor luaran yang boleh mempengaruhi ketidakseimbangan biomekanik ini, seperti pemilihan kasut yang tidak sesuai atau teknik senaman yang tidak betul.
Antara simptom PFPS termasuklah;
- Lutut berbunyi klik, berdecit, retak atau bunyi berlaga (grinding).
- Bengkak pada bahagian hadapan lutut.
- Sakit ketika menuruni tangga atau mencangkung
- Rasa tidak selesa semasa duduk pada waktu yang lama.
- Rasa sakit pada hadapan lutut / tempurung lutut ketika melakukan aktiviti fizikal.

Lutut Pelompat (Tendonitis Patellar)
Tendonitis patellar pula ialah sakit lutut akibat penggunaan tendon patellar yang berlebihan.
Tendon patellar ialah tendon yang menghubungkan bahagian bawah tempurung lutut (patella) ke tulang kering (tibia). Tendon ini membantu otot meregangkan kaki bawah dan menstabilkan lutut supaya anda boleh menendang bola, mengayuh basikal dan melompat dengan bebas dan gembira.
Namun, sekiranya anda kerap melakukan pergerakan seperti ini, tendon patellar boleh terkoyak dan membawa kepada radang tendon.
Simptom tendonitis patellar termasuklah;
- Sakit di bawah tempurung lutut
- Lutut bengkak dan kaku
- Sakit bertambah teruk ketika melakukan pergerakan seperti melompat.
Pada mulanya, rasa sakit terasa hanya anda melakukan aktiviti fizikal berintensiti tinggi. Lama-kelamaan, rasa sakit semakin teruk hingga mengganggu aktiviti bersukan, dan semakin lama menyukarkan anda untuk melakukan aktiviti harian seperti naik turun tangga atau bangun daripada duduk.

Kecederaan ACL
Lutut kita disokong oleh empat jenis ligamen utama yang berfungsi untuk menstabilkan lutut dalam pergerakan berimpak tinggi dan mengelakkan tulang tibia daripada menggelongsor jauh daripada tulang femur.
ACL adalah ligamen yang paling kerap tercedera dan terkoyak ,terutama dalam kalangan atlet seperti pemain bola sepak. Pergerakan berpusing (twisting) dan berhenti secara tiba-tiba melebihi hadnya menyebabkan ACL terkoyak.
Antara gejala kecederaan ACL termasuklah;
- Bunyi “pop” dalam lutut
- Bengkak lutut
- Lutut terasa lemah

Kecederaan ACL merupakan ketakutan utama kebanyakan pemain bola sepak. Ketahui mengapa ACL paling senang tercedera, rawatan untuk ACL dan lebih lagi di pautan ini – ACL Koyak
Penyakit Osgood-Schlatter
Perhatian kepada semua ibu bapa! Ada satu penyakit yang boleh menyebabkan anak anda mendapat radang lutut sejak kecil lagi!
Osgood- Schlatter ialah radang di bawah hadapan lutut di mana tendon patellar melekat pada tulang tibia. Penyakit ini berlaku semasa tumbesaran apabila anatomi fizikal manusia berubah dengan cepat, ditambah dengan aktiviti fizikal yang menambah tekanan pada tulang dan otot. Penyakit Osgood-Schlatter ini biasanya berlaku pada kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dan perempuan berumur 10-13 tahun.
Simptom-simptom penyakit Osgood- Schlatter termasuklah;
- Sakit lutut / kaki bawah
- Bengkak dan ngilu pada lutut serta sensasi hangat sekitar tulang paha.
- Bengkak yang lebih ketara selepas aktiviti fizikal.
- Lutut terasa tegang dan sukar untuk menggerakkan lutut secara normal.
- Benjolan keras di bawah lutut.

Penggunaan Lutut Berlebihan
Sakit lutut di usia muda juga berpunca daripada “terlebih guna lutut”. Bersukan dapat meningkatkan risiko kecederaan lutut seperti PFPS dan kecederaan ACL, serta radang bursa dan tendon. Penggunaan lutut secara berlebihan juga dapat meningkatkan risiko untuk mendapat osteoarthritis.
Gaya Hidup yang Tidak Aktif
“Gaya hidup sedentari (tidak aktif) turut menyumbang kepada masalah sakit lutut di usia muda. Apabila seseorang kurang bergerak, otot-otot kaki tidak bekerja dan menjadi semakin lemah. Keadaan ini menyebabkan ketidakseimbangan otot, di mana otot-otot tertentu menjadi terlalu ketat manakala yang lain menjadi lemah. Ketegangan pada otot yang ketat ini, ditambah dengan kurangnya sokongan daripada otot yang lemah, boleh menambah tekanan pada lutut.

Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan radang pada sendi lutut, serta meningkatkat risiko sakit lutut patellofemoral atau osteoarthritis.
Senaman kuatkan otot terutama otot quadriceps dan hamstring dapat membantu menyokong lutut anda dengan lebih baik. Antara senaman yang anda boleh lakukan termasuklah;
- Static Quadriceps Exercises
- Straight Leg Raise
- Knee Extension
- Squats

Kaki Kengkang (Bow Leggedness)
Kaki kengkang ialah keadaan di mana terdapat ruang tengah atau rongga di antara dua kaki anda semasa anda berdiri dan rapatkan kaki. Ianya boleh disebabkan oleh;
- Penyakit Ricket
- Masalah pertumbuhan pada kaki
- Genetik
- Blount’s disease.
Kaki kengkang dapat menyebabkan sakit lutut di usia muda dan meningkatkan risiko osteoarthritis. Keseimbangan pada sendi lutut terganggu, menyebabkan satu sisi sendi lutut tidak dapat menampung tekanan yang berlebihan, dan lama-kelamaan merosakkan tulang rawan.
Kaki kengkang juga berpotensi untuk mengakibatkan masalah pada iliotibial band dan sakit pada bahagian luar lutut.

Gout
Sakit lutut di usia muda juga boleh disebabkan oleh gout, di mana terlalu banyak asid urik di dalam darah. Asid urik berlebihan terkumpul antara tisu-tisu sendi kapsul lutut dan membentuk ketulan kristal. Ketulan-ketulan kristal ini bergeser antara satu sama lain di dalam tisu yang menyebabkan radang.
Air radang pesakit gout juga berbeza dari segi warnanya. Air bisa yang dikeluarkan berwarna sedikit keruh. Oleh itu, pentingnya menjaga pemakanan untuk mengawal kadar asid urik di dalam badan.
Terdapat banyak lagi makanan yang dikhuatiri boleh mendatangkan sakit sendi pada lutut anda, Ketahui 9 makanan yang perlu dielakkan untuk sakit sendi
Cara Menjaga Kesihatan Lutut
- Kawal berat badan dan BMI anda
- Amalkan senaman secara berkala
- Amalkan gaya hidup yang aktif
- Buat senaman regangan dan pemanasan badan sebelum bersenam
- Elakkan duduk terlalu lama pada satu tempoh masa.
Kesimpulan
Sakit lutut di usia muda bukanlah masalah yang boleh dipandang ringan. Faktor seperti gaya hidup sedentari, aktiviti fizikal yang berlebihan, dan kaki kengkang boleh memberi tekanan berlebihan pada sendi lutut, meningkatkan risiko kecederaan dan masalah seperti arthritis dan sakit lutut patellofemoral.
Maka, penting untuk anda mengamalkan gaya hidup aktif, dan memilih senaman yang sesuai bagi mengurangkan risiko dan memastikan kesihatan lutut yang baik.
Dengan pencegahan awal dan rawatan yang tepat, anda boleh mengelakkan masalah lutut yang serius di kemudian hari.
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?