Pendahuluan
Sakit lutut bukan lagi masalah orang tua sahaja. Gaya hidup yang aktif, berat badan berlebihan, dan faktor usia boleh menyebabkan masalah lutut terjadi lebih awal daripada yang disangka. Rasa mencucuk, sengal, atau sakit semasa berjalan mungkin nampak kecil, tapi boleh mengganggu rutin harian kalau dibiarkan.
Jadi, penting untuk kita tahu jenis-jenis rawatan yang ada, daripada langkah pencegahan, rawatan sendiri di rumah, kaedah tradisional, hinggalah ke pilihan moden. Artikel ini akan menerangkan secara ringkas 11 rawatan sakit lutut untuk sakit ringan hingga tahap parah.

Kandungan
Rawatan Pencegahan Awal
Mencegah lebih baik daripada mengubati.
Pepatah yang sering kita dengar. Pepatah ini juga sesuai digunakan untuk sakit lutut.
Rawatan pencegahan awal amat sesuai untuk anda yang belum sakit lutut, tapi sudah mula terasa gejala yang ringan. Atau yang memang nak jaga kesihatan lutut dari awal.
Kawal Berat Badan
Yang paling penting,penjagaan berat badan. Berat badan yang berlebihan menambah beban dan tekanan pada lutut sebanyak 4 kali ganda! bayangkan bagaimana lutut anda terpaksa bekerja secara berlebihan.
Malah, berat badan berlebihan juga meningkatkan risiko untuk anda mendapat osteoarthritis pada usia muda. Ini kerana tekanan yang berlebihan menyebabkan tulang rawan semakin menipis. Penipisan tulang rawan mengakibatkan tulang lebih cepat bergeser antara satu sama lain dan terjadilah radang lutut.

Senaman Regangan
Selain itu, anda juga boleh mengamalkan senaman regangan untuk menguatkan sendi. Antara senaman yang anda boleh lakukan termasuklah squat ringan, “straight leg raises” dan berbagai lagi.

Pemilihan Kasut
Kasut juga memainkan peranan penting. Sesuai dengan kata pujangga “beauty is pain”, pemakaian kasut bertumit tinggi boleh mendatangkan sakit lutut kerasa struktur anatomi yang terganggu. Jangan pakai kasut bertumit tinggi terlalu lama. Malah, adalah lebih baik jika anda tukarkan kepada kasut yang menyokong kesihatan tumit dan kaki.
Suplemen
Suplemen juga merupakan cara semulajadi untuk menguatkan sendi-sendi lutut anda. Ada yang menganggap suplemen ini seperti ubat untuk hilangkan sakit. Namun berbeza dengan ubat tahan sakit di farmasi, suplemen ini lebih kepada proses pemulihan lutut secara semulajadi. Suplemen ini membaiki tisu-tisu yang rosak.
Antara suplemen yang bagus untuk sakit lutut termasuklah;
- Glucosamine & Chondroitin
- Kunyit
- Collagen Type II
- Halia
Malah ada suplemen yang terdiri daripada gabungan bahan-bahan semula jadi ini untuk memberi impak yang lebih bagus untuk kesihatan sendi anda.

Setiap suplemen semulajadi mempunyai kelebihan mereka tersendiri. Ketahui peranan mereka dalam memerangi sakit lutut anda di pautan ini:
Suplemen untuk sakit lutut
Kelebihan glucosamine untuk lutut
Rawatan Sakit Lutut Di Rumah
Kaedah R.I.C.E
Kebanyakan hari, 24 jam terasa tak pernah cukup. Hari-hari dipenuhi dengan adegan berlari kejar MRT, angkat barang berat, turun naik tangga, sampai kadang-kadang kita tak sedar lutut mula rasa sakit. Mula-mula rasa macam biasa je, tapi makin lama makin mencucuk dan tak selesa. Memang mengganggu bila tengah nak kejar masa, kan?
Kalau baru saja mula rasa sakit lutut, anda boleh cuba dulu kaedah R.I.C.E. di rumah. Kaedah ini boleh bantu kurangkan sakit serta bengkak ringan.
Apa itu R.I.C.E.?
Bukan nasi yang kita makan tu! R.I.C.E. ni singkatan untuk Rest (Rehat), Ice (Ais), Compression (Tekanan), dan Elevation (Tinggikan). Empat langkah mudah untuk rawat sakit lutut ringan atau sederhana. Jom tengok satu per satu:
- Rest (Rehat):
Langkah pertama,rehatkan lutut anda daripada bekerja dulu dan beri masa untuk ia pulih. Elakkan aktiviti berat selama beberapa hari supaya tak jadi makin teruk.
- Ice (Ais):
Dalam 48 jam pertama, tuam lutut dengan ais selama lebih kurang 20 minit setiap 2-3 jam. Anda tiada “cold pack”? Boleh ianti dengan pek makanan sejuk beku! Tapi ingat, jangan letak ais terus atas kulit! Balut dengan kain nipis dulu untuk elakkan frostbite. Kalau sakit masih ada lepas dua hari, mungkin dah tiba masa jumpa doktor.
- Compression (Tekanan):
Balut lutut dengan pembalut elastik untuk kurangkan bengkak. Tapi jangan terlalu ketat! Nanti darah susah nak mengalir. Kalau kaki rasa kebas atau berdenyut pelik, longgarkan sedikit balutan. - Elevation (Tinggikan):
Baring dan angkat kaki dan pastikan lutut lebih tinggi daripada paras jantung. Letak bantal bawah kaki semasa baring boleh bantu kurangkan bengkak dan denyutan.
Tips tambahan:
Kalau nak cepat lega, boleh ambil ubat tahan sakit seperti paracetamol untuk kurangkan keradangan. Tapi ingat, kalau sakit tak hilang atau makin teruk, dapatkan nasihat doktor secepat mungkin.

Pendakap Lutut (Knee Braces)
Knee brace atau pendakap lutut ialah alat sokongan perubatan yang direka khas untuk stabilkan sendi lutut dan pastikan ia kekal di tempatnya. Ia bantu jaga kedudukan lutut yang betul, kurangkan tekanan pada sendi, dan elakkan pergerakan yang tiba-tiba atau berlebihan.
Tujuan utama penggunaan knee brace ni adalah untuk kurangkan rasa sakit dan tak selesa, sambil bantu kita bergerak dengan lebih yakin dan selesa dalam aktiviti harian.
Pendakap lutut boleh digunakan untuk menyokong lutut anda selepas pembedahan ligamen atau meniscus, sakit kronik, perlindungan ketika bersukan dan lain-lain lagi.
Walaupun pemakaian knee brace tak boleh hentikan perkembangan penyakit OA, ia tetap boleh main peranan kecil yang bermanfaat.
Antara kelebihan pakai knee brace untuk OA:
Kurangkan Tekanan:
Brace bantu kurangkan beban pada sendi lutut, jadi aktiviti harian seperti berjalan atau naik tangga kurang menyakitkan.
Sokong Proses Pemulihan:
Kalau baru lepas cedera, knee brace boleh bantu beri sokongan pada lutut sepanjang proses penyembuhan. Jadi, anda tak perlu berbaring 24 jam!
Perbaiki Kedudukan Lutut:
Brace juga boleh bantu luruskan lutut dan alihkan tekanan dari bahagian yang sakit. Bila lutut lebih stabil, senaman untuk kuatkan otot pun jadi lebih mudah dan kurang sakit.

Rawatan Sakit Lutut Tradisional
Terdapat juga kaedah perubatan tradisional yang diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi. Dan walaupun telah banyak kemajuan dalam perubatan, termasuklah dalam rawatan sakit lutut, rawatan sakit lutut tradisional masih lagi mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia, tidak mengira usia atau generasi.
Terdapat pelbagai kaedah perubatan tradisional, antaranya termasuklah;
- Kaedah akupuntur yang telah dibuktikan keberkesanannya dalam merawat pesakit osteoarthritis lutut melalui beberapa kajian klinikal.
- Terapi berbekam yang merupakan sunnah Rasulullah SAW. Kaedah berbekam membantu meningkatkan pengaliran darah di kawasan terjejas dan membuang toksin yang berkumpul di Kawasan tersebut.
- Urutan tradisional yang bukan sahaja melegakan lenguh-lenguh badan, namun dapat meredakan otot yang tegang serta memulihkan fungsi sendi dan pergerakan.

Terdapat juga terapi moxa serta satu herba sunnah yang menyokong pemulihan sakit lutut. Ketahui lebih lanjut dalam artikel berikut : Ubat Sakit Lutut Tradisional
Rawatan Sakit Lutut: Pilihan Perubatan Moden
Kalau sakit lutut dah mula ganggu rutin harian, jangan risau! Terdapat pelbagai rawatan moden yang boleh bantu kurangkan sakit dan tingkatkan kualiti hidup anda.
Ubat-Ubatan Farmaseutikal
Untuk kelegaan segera, ubat-ubatan farmasi seperti Paracetamol boleh bantu halang isyarat sakit ke otak, jadi lutut rasa kurang sakit. Ia lebih selamat untuk perut berbanding NSAIDs, tapi ia hanya beri kelegaan sementara.
Jika sakit lebih kuat, NSAIDs seperti ibuprofen atau Celebrex boleh bantu kurangkan sakit, bengkak, dan keradangan, sesuai untuk masalah sendi seperti arthritis. Namun, NSAIDs boleh memberi Kesan sampingan pada perut dan buah pinggang.

Suntikan Steroid
Untuk kesakitan yang teruk atau lutut bengkak, suntikan kortikosteroid dapat beri kelegaan cepat dalam masa 48 jam, tapi tak boleh digunakan selalu! Cukup hanya 3 hingga 4 kali setahun, atau suntikan ini dapat merosakkan lagi sendi anda untuk jangka masa yang lama. Sebelum mengambil apa-apa ubat, pastikan berjumpa doktor untuk rawatan yang lebih selamat dan sesuai.
Suntikan Gel Lutut / Rawatan Pemulihan Semulajadi
Jika ubat tidak cukup berkesan, terdapat suntikan moden yang boleh membantu meredakan sakit lutut. Suntikan Asid Hyaluronik (HA) bertindak seperti “minyak pelincir” semula jadi untuk lutut, mengurangkan geseran antara tulang dan menjadikan pergerakan lutut lebih selesa. Ini sangat sesuai untuk pesakit osteoartritis yang ingin mengelakkan pembedahan.
Sementara itu, suntikan pemulihan semulajadi menggunakan platelet dari darah sendiri yang mengandungi growth factors untuk membantu memulihkan tisu lutut dan mengurangkan radang. Kelebihan suntikan ini ialah ia menyokong proses penyembuhan semula jadi tubuh dan membantu mengurangkan sakit serta bengkak dari dalam.

Pembedahan Tukar Lutut (TKR)
Jika semua kaedah lain sudah dicuba tetapi lutut masih sakit, pembedahan tukar lutut (Total Knee Replacement, TKR) mungkin pilihan terakhir. Dalam prosedur ini, doktor akan membuang bahagian lutut yang rosak dan menggantikannya dengan sendi tiruan yang biasanya diperbuat daripada logam atau plastik.
Selepas pembedahan, ramai pesakit merasa lega daripada sakit kronik dan dapat kembali berjalan, menaiki tangga, serta melakukan aktiviti harian tanpa rasa sakit seperti sebelumnya. Namun, perlu diingat bahawa TKR adalah pembedahan besar, dan doktor hanya akan mencadangkannya jika rawatan lain tidak berkesan.

Kesimpulan
Sakit lutut boleh terjadi pada sesiapa sahaja, tak kira umur atau gaya hidup. Kunci utama adalah kenali tanda awal dan dapatkan rawatan sakit lutut bermula peringkat awal. Sama ada anda memilih rawatan di rumah, kaedah tradisional atau rawatan moden, yang penting ialah keselesaan dan kualiti hidup anda terjaga.
Kalau rasa lutut makin sakit atau rawatan di rumah tak membantu, jangan tunggu lama! Dapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor.
Dapatkan maklumat lengkap mengenai sakit lutut termasuk punca, simptom dan rawatannya di sini
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?