“Kenapa ya, setiap kali saya period bukan setakat sakit perut, tapi mesti sakit lutut sekali. Ada kaitan ke?”
Pertanyaan ini seringkali menjadi keluhan wanita. Mengapa sakit ketika haid tidak hanya terbatas pada perut, tapi boleh sampai ke lutut? Ternyata, sakit lutut ini merupakan satu fenomena biasa ketika menstruasi disebabkan oleh beberapa faktor.
Punca sakit lutut bagi wanita juga bukanlah cuma menstruasi sahaja, tetapi ada faktor lain yang meningkatkan risiko sakit lutut, dan melemahkan sistem sokongan badan wanita.
Artikel ini akan mengupas beberapa punca sakit lutut bagi wanita, serta siapa yang lebih berisiko untuk mengalami sakit lutut.
Kandungan
Mengapa Wanita Lebih Ramai Sakit Lutut?
Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca sakit lutut bagi wanita. Antaranya ialah;
1. Struktur Fizikal Tulang Peha
Bentuk badan wanita sememangnya menyumbang kepada potensi untuk mendapat sakit lutut. Wanita secara semula jadi dicipta dengan struktur pinggul dan pelvis yang lebih lebar, yang berfungsi untuk menyokong berat kandungan dan memudahkan proses melahirkan anak.
Namun, struktur pinggul yang lebih lebar ini juga melibatkan perbezaan sudut quadriceps (Q angle), iaitu sudut antara pinggul dan lutut, yang menjadi punca sakit lutut bagi wanita. Wanita mempunyai sudut quadriceps yang lebih besar berbanding lelaki.
Bayangkan lutut anda seperti pintu yang disambungkan dengan engsel. Jika pintu itu dipasang pada sudut yang sedikit serong, engselnya perlu bekerja lebih keras setiap kali pintu dibuka atau ditutup. Lama-kelamaan, engsel tersebut akan menjadi haus lebih cepat kerana tekanan tambahan.
Begitu juga dengan lutut wanita. Disebabkan sudut antara pinggul dan lutut (Q angle) yang lebih besar, perbezaan sudut ini menyebabkan tulang peha condong sedikit ke dalam untuk mengekalkan kestabilan badan ketika berdiri dan bergerak.
Walaupun ia membantu menstabilkan kedudukan tubuh, lebih banyak tekanan yang ditampung kepala lutut (patella), tulang rawan dan sendi dalaman lutut, seperti engsel pintu yang serong tadi.Lama-kelamaan, tekanan ini boleh menjadi punca sakit lutut bagi wanita.
2. Kasut tumit tinggi
Seperti kata pujangga ” Beauty is Pain” . Iya lah , wanita mana tidak mahu kelihatan cantik kan. Seperti yang kita tahu, wanita kerap memakai kasut tumit tinggi untuk nampak cantik. Walaupun luarannya nampak bergaya, namun kasut tumit tinggi boleh membuatkan lutut kita merana!
Apabila seseorang wanita memakai kasut tumit tinggi untuk jangka masa yang lama, otot dan sendi lutut akan bekerja dengan lebih keras untuk mengekalkan kestabilan postur badan, terutama ketika berjalan. Sekaligus, memberi tekanan yang berlebihan pada sendi lutut. Hal ini juga boleh terjadi sekiranya wanita kerap duduk bersilang kaki.
3. Postur Badan
Postur wanita juga menjadi antara punca sakit lutut bagi wanita. Wanita mempunyai pusat graviti yang lebih rendah, iaitu di sekitar pinggul, serta kaki yang biasanya lebih pendek berbanding lelaki.
Oleh kerana itu, bahagian bawah badan perlu bekerja lebih keras untuk mencari keseimbangan semasa berjalan, bergerak, atau melakukan aktiviti fizikal. Hal ini juga memainkan pengaruh sekiranya seseorang wanita itu mempunyai berat badan yang berlebihan.
Wanita juga cenderung mengekalkan posisi badan yang lebih tegak ketika berjalan, melompat, atau berlari. Pergerakan ini, terutamanya dalam kalangan atlet wanita, memaksa lutut untuk menyerap tekanan yang lebih besar – kira-kira empat kali ganda berat badan. Akibatnya, lutut lebih berisiko untuk mengalami kecederaan.
4. Hormon
Setiap wanita pasti bersetuju setiap kali “period”, mesti sakit dan lenguh-lenguh badan, termasuk lutut. Dan sakitnya bukan sakit biasa! Kenapa ya?
Sebenarnya, kitaran haid juga menjadi punca sakit lutut bagi wanita. Ini disebabkan oleh paras hormon yang sentiasa berubah setiap kali kita datang bulan.
Pertama sekali, hormon estrogen yang berperanan untuk melindungi sendi dan mengurangkan keradangan berada pada paras rendah semasa haid. Ini menyebabkan sendi lebih mudah terdedah kepada rasa sakit dan ketidak selesaan, termasuk di lutut.
Penurunan hormon estrogen dan progesteron juga boleh meningkatkan risiko wanita mengalami kecederaan ACL, iaitu kecederaan pada ligamen lutut. Paras progesterone yang rendah mengurangkan kekuatan ligamen, menyebabkan sendi lutut tidak disokong dengan baik, dan meningkatkan risiko kecederaan ACL.
Selain itu, perubahan hormone akibat haid juga menyebabkan banyak cecair berkumpul di celah-celah tisu badan yang menyebabkan seseorang itu kembung atau “bloating”. Kembung haid ini boleh menyebabkan sendi-sendi membengkak di beberapa bahagian badan, termasuk lutut, dan mendatangkan rasa lenguh dan perit.
Selain itu, semasa haid, otot-otot badan juga kurang berkoordinasi dengan baik,membuatkan sendi lutut menjadi kurang stabil, yang menyumbang kepada rasa lenguh dan sakit di bahagian tersebut.
5. Kecederaan ACL dalam Kalangan Atlet Wanita
Kecederaan pada ligamen anterior cruciate (ACL) lebih kerap berlaku dalam kalangan atlet wanita berbanding lelaki. Menurut statistik dari tahun 1990 hingga 1993, pemain bola keranjang wanita mempunyai risiko 3.83 kali lebih tinggi untuk mendapat kecederaan ACL berbanding lelaki. Dalam sukan gimnastik, risikonya adalah 3.06 kali lebih tinggi, manakala dalam sukan bola sepak, risikonya 2.38 kali lebih tinggi.
Salah satu sebab utama bagi kecenderungan ini adalah kerana atlet wanita lebih bergantung kepada otot quadriceps, yang boleh menyebabkan ligament ACL mengetat dan menyebabkan kecederaan. Sebaliknya, otot hamstring, yang melindungi ACL daripada koyak ketika lutut terseliuh, kurang digunakan. Wanita juga jarang membengkokkan lutut apabila mendarat, menyebabkan lutut menerima hentakan yang lebih kuat.
6. Menopause
Kita semua sedia maklum bahawa usia juga antara punca sakit lutut bagi wanita. Tetapi, adakah menopause atau putus haid juga menyumbang kepada sakit lutut, selain daripada peningkatan usia?
Sebenarnya, menopause juga berkait rapat dengan faktor hormon wanita. Wanita menopause lebih mudah sakit lutut kerana penurunan hormone estrogen, yang menyebabkan tulang menjadi semakin rapuh, otot semakin mengecil dan sendi semakin lemah.
Menurut kajian yang dilakukan dalam kalangan wanita di China, lebih 65% daripada mereka mengadu sakit-sakit sendi selepas putus haid, dan sesetengah daripada mereka berasa terganggu dengan kesakitan ini sehingga tidak dapat meneruskan aktiviti harian seperti biasa.
Terdapat juga punca-punca sakit lutut bagi wanita yang lain selepas menopause termasuklah osteoarthritis, osteoporosis, rheumatoid arthritis, dan fibromyalgia.
Untuk maklumat lanjut tentang kecederaan ACL, boleh baca artikel ini. .
Akhir Kata
Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai punca sakit lutut bagi wanita seperti perubahan hormon, struktur dan postur badan, serta keadaan seperti menopause. Faktor-faktor risiko seperti usia, berat badan berlebihan, dan keturunan juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk mengalami sakit lutut.
Dengan mengamalkan senaman pengukuhan otot, menjaga berat badan ideal, serta mengelakkan faktor yang boleh memberi tekanan berlebihan pada lutut, anda boleh mengurangkan risiko masalah lutut.
Jika anda mengalami sakit lutut yang berterusan, sebaiknya anda segera mendapatkan pemeriksaan dan nasihat doktor untuk mengelakkan dari kesakitan menjadi lebih serius.
Akhir kata, penting untuk kita memahami punca sakit lutut dan mengambil langkah pencegahan awal untuk menikmati kehidupan yang lebih aktif dan sihat. Jangan biarkan sakit lutut menghalang anda daripada menjalani kehidupan yang berkualiti. Nak tahu cara mencegah sakit lutut bagi wanita? Dan siapa paling tinggi risiko nya. Baca selanjutnya di sini
Baca Lebih Teliti Semua Tentang Sakit Lutut: Sakit Lutut 101 : Semua Yang Anda Patut Tahu (Panduan Lengkap)
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?
Rasai Sendiri Kelainan Rawatan Sakit Lutut di Klinik Tuah
- About The Author
- Latest Posts
Dr. Hareez is a experienced medical professional registered with Malaysian Medical Council. He obtained his medical certification from the prestigious International Medical School, India, and has served in renowned institutions such as Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan and Hospital Ampang, Selangor.
In addition to his medical practice, Dr. Hareez is also a passionate medical writer, frequently contributing insightful articles on pain management and the surgical field. By staying updated with the latest advancements, he strives to continuously improve his practice and help others understand important health topics.