fbpx Skip to main content
Sakit Lutut

6 Petanda Sakit Lutut Tua yang ada pada hampir semua orang

By November 1st, 2024No Comments

Di suatu hari yang mendung, klinik kami dikunjungi oleh seorang pesakit bernama Sarah (bukan nama sebenar) berumur 30-an. Sarah mengadu bahawa sudah beberapa hari beliau menderita petanda sakit lutut. 

“Lutut saya terasa sakit pedih, ngilu waktu bengkokkan kaki, menaiki tangga dan selepas bersenam. Nak letak beg atas lutut waktu duduk pun dah tak boleh. Dulu, saya tak ada masalah nak buat semua ni.”

“Saya tak pernah kemalangan atau cedera lutut sebelum ni, doktor. Tapi pernah juga nampak lebam-lebam di lutut. Tapi sekarang, dah susah saya nak bergerak berjalan macam biasa.”

petanda sakit lutut

Sekiranya anda pernah mengalami masalah dan petanda sakit lutut yang sama seperti Sarah, besar kemungkinan lutut anda mungkin menghidap osteoarthritis lutut atau petanda sakit lutut tua. 

Apa itu osteoarthritis lutut? Osteoarthritis lutut ialah salah satu jenis arthritis (sakit sendi) yang berpunca daripada kerosakan tulang rawan sendi. Tulang rawan sendi bertindak sebagai pelindung dan ‘kusyen’ sendi untuk menyerap hentakan dan melicinkan pergerakan antara sendi.

Namun, seiring peningkatan usia, tulang rawan lama-lama boleh menjadi haus dan rosak dan menyebabkan geseran antara dua tulang. Hal ini mengakibatkan seseorang boleh mengalami masalah sakit lutut, bengkak lutut dan hilang fungsi sendi. 

Osteoarthrirtis terbahagi kepada 4 peringkat:

Lutut kelihatan normal
1 (Kecil)Sendi lutut sedikit haus, namun pesakit tidak mengalami sakit sendi. 
2 (Ringan)Lutut menunjukkan pertumbuhan taji tulang.Pesakit mungkin merasa sedikit sakit sendi dan ketidakselesaan dalam tempoh yang lama.Rawan menunjukkan kondisi yang masih sihat.
3(sederhana) Rawan menunjukkan tanda terhakis dan haus. Jarak antara tulang berkurang serta radang sendi mungkin berlaku, menyebabkan pesakit kerap berasa sakit dan bunyi meretak ketika berjalan.Sekiranya sakit bertambah teruk, pesakit mungkin akan diberikan suntikan gel lutut (Hyaluronic acid) untuk meningkatkan mobiliti. 
4 (Berat)Rawan menunjukkan tahap kerosakan dan kehausan yang serius. Penurunan cecair synovial, geseran melampau antara sendi dan juga radang sendi yang kronik.Pesakit tidak berupaya untuk bergerak tanpa rasa sakit. Pada peringkat ini, pesakit mungkin terpaksa menjalani pembedahan penggantian lutut atau osteotomi tulang. 

Risiko Mendapat Sakit Lutut

Tapi bukankah orang tua saja yang menghidap petanda sakit lutut osteoarthritis?

Osteoarthritis lazimnya memang hanya dialami oleh orang tua, namun orang muda juga berisiko untuk menghidap osteoarthritis. Terdapat beberapa petanda sakit lutut serta punca sakit lutut termasuklah:

1. Usia

Risiko osteoarthritis dipengaruhi oleh peningkatan usia. Warga emas lebih cenderung mendapat petanda sakit lutut ini kerana perubahan sistem musculoskeletal (otot dan rangka. Peningkatan usia juga menyebabkan pengurangan keupayaan tulang rawan untuk sembuh secara sendiri.

Kemerosotan sendi yang diakibatkan oleh tulang rawan yang haus dan kekurangan penghasilan cecair pelincir menyebabkan pergeseran di antara permukaan sendi yang mengakibatkan rasa sakit dengan setiap pergerakan yang membebankan sendi lutut. 

2. Obesiti

Obesiti adalah antara faktor terbesar petanda sakit lutut osteoarthritis dalam kalangan golongan muda. Hal ini kerana tekanan yang ditanggung oleh sendi lutut kerana berat badan berlebihan. Walaupun berat kita hanya mungkin 4-kilogram lebih daripada berat badan ideal, sebenarnya lutut kita menanggung tambahan 4 hingga 22 kilogram beban. Lebihan berat badan memberi tekanan berlebihan dan lama-lama menyebabkan osteoarthritis.

3. Gaya hidup sedentari

Anda suka duduk berjam-jam atau baring sepanjang hari tanpa sebarang aktiviti fizikal? Anda mengamalkan gaya hidup sedentari- atau gaya hidup yang tidak aktif. Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati 60 peratus rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sedentari. 

Gaya hidup ini meningkatkan risiko obesiti dan petanda sakit lutut osteoarthritis. Kurangnya aktiviti fizikal menyebabkan pengurangan jisim otot yang menyokong dan menyerap hentakan pada lutut, menyebabkan kerosakan pada sendi lutut. Oleh itu, anda harus bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu supaya lutut anda lebih sihat dan kuat!

4. Sukan

Kebanyakan golongan muda yang menghidapi osteoarthritis adalah dari kalangan atlet atau yang kuat bersukan. Atlet sukan berimpak tinggi seperti bola sepak, ragbi dan gusti lebih cenderung mendapat petanda sakit lutut osteoarthrtitis.

Sendi boleh merosot melalui kerosakan pada rawan artikular jika trauma dan impak (hentakan) berulang dikenakan pada sendi lutut. Atlet sukan boleh terlebih guna sendi mereka menyebabkan kecederaan ringan pada tisu struktur tulang lutut dan terdedah pada microtrauma yang kemudiannya menjadi osteoarthritis. 

Petanda sakit lutut anda mungkin telah “berusia”

1. Sakit ketika melakukan pergerakan lutut, sama ada membengkokkan atau meluruskan kaki

Osteoarthritis biasanya membataskan keupayaan pergerakan seseorang. Sakit sendi dan sendi keras menyebabkan fleksibiliti semakin berkurang. Seseorang juga boleh merasa kesakitan yang melampau ketika cuba menggerakkan mana-mana sendi lutut.

2. Bengkak pada sendi lutut

Bengkak mungkin kelihatan di sekitar lutut oleh kerana air radang yang terkumpul dan menyebabkan inflamasi atau kerana pertumbuhan taji tulang (osteophytes).

3. Sendi terasa keras

Antara tanda awal osteoarthritis ialah sendi terasa sakit dan keras, terutama pada waktu pagi dan sekiranya anda tidak aktif sepanjang hari. Individu dengan arthritis dapat mengurangkan gejala ini dengan sedikit senaman ringan dan aktiviti fizikal.

4. Sendi berbunyi retak atau seperti lutut ’klik’ ketika menggerakkan lutut dan menyakitkan.

Tulang rawan berfungsi sebagai pelincir antara dua sendi. Namun, apabila tulang rawan haus, ia menyebabkan tulang sendi bergeser satu sama lain dan terdedah kepada osteoarthritis.  

5. Sendi lutut terasa sakit ketika sekeliling sendi ditekan.

Simptom ini kebiasaannya jelas apabila osteoarthritis semakin teruk. Ini mungkin disebabkan oleh bengkak pada kawasan yang terlibat.

6. Otot semakin mengecil disebabkan kurang melakukan aktiviti.

Kesimpulannya, lutut tua walaupun lazimnya hanya dialami oleh orang tua, orang muda juga tidak terkecuali daripada risiko lutut tua atau osteoarthritis ini. Oleh itu, penjagaan lutut haruslah dipraktikkan dari awal dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Sekiranya terdapat tanda-tanda lutut tua pada diri anda, segeralah berjumpa dengan doktor untuk diagnosis dan rawatan.

Baca Lebih lanjut : Sakit Lutut 101 : Semua Yang Anda Patut Tahu (Panduan Lengkap)

lutut osteoarthritis