Oleh: Dr Mohd Ammar Ihsan
Kandungan
Pendahuluan
Wabak tuberculosis (TB) kembali melanda dunia, dan Malaysia tidak terkecuali. Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sebanyak 596 kes TB baharu daripada 8 Februari hingga 14 Februari, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,161 kes TB dilaporkan di seluruh negara.
Dengan wabak yang semakin menular, Kementerian Kesihatan telah menggariskan beberapa panduan pencegahan dan penjagaan, antaranya termasuklah langkah-langkah kawalan jangkitan, pemeriksaan awal, dan pemantauan pesakit.
Namun, sebenarnya orang yang pernah dijangkiti TB mempunyai kemungkinan untuk mendapat TB kembali, dengan lebih kurang 7% daripada kes Tuberculosis merupakan TB berulang di Malaysia.
Maka, kami telah menjalankan kajian ini untuk menilai kejadian TB berulang, faktor-faktor yang mempengaruhinya, serta tempoh masa sebelum TB berulang berlaku.
Latar Belakang dan Mengapa Kajian Ini Dijalankan?
Tuberculosis (TB) ialah satu jangkitan paru-paru yang serius, dan sesetengah individu boleh mengalami TB berulang. 7% daripada kes TB yang dilaporkan merupakan jangkitan berulang, di mana pesakit telah pun menerima rawatan untuk kes TB pertama kali.
Di Malaysia, 1.2% -7% pesakit yang telah mendapat rawatan Tuberculosis dijangkiti penyakit ini kembali, dengan satu kajian mendapati TB boleh kembali sepantas 6 bulan selepas rawatan.
Jangkitan TB berulang ini menandakan beberapa masalah termasuklah;
- “Drug resistance TB” menjadi punca utama, iaitu sebanyak 80% kes, menunjukkan TB semakin kebal terhadap ubat-ubatan biasa
- 12% pesakit tidak mengikut arahan rawatan yang betul sepanjang tempoh rawatan
- Dana kesihatan kebangsan tidak dimanfaatkan dengan optimum
- TB berpotensi menular kepada orang lain.
Oleh itu, satu kajian telah dijalankan di Negeri Sembilan untuk menganalisis kekeparan berlakunya kes Tuberculosis (TB) berulang, berapa lama tempoh masa untuk TB berulang dan faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian TB berulang.
Bagaimana Kajian Ini Dijalankan?
Kajian ini dijalankan di Klinik Respiratori Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan. Sebanyak 422 pesakit TB, yang mempunyai rekod sejarah penyakit TB didaftarkan di Sistem Informasi TB daripada tahun 2018 hingga 2023. Data ini mengambil kira latar belakang pesakit dan faktor risiko berkaitan TB dan telah diakui oleh pakat kesihatan awam (penyakit berjangkit) dari Universiti Putra Malaysia dan pakar respiratori HTJS.
TB berulang dedifinisikan apabila seorang pesakit mempunyai episode TB selepas melengkapkan rawatannya, melalui
- Ujian makmal
- Diagnosis doctor
- X-ray atau ujian kahak (sputum assessment)
- Rekod pesakit dengan label “recurrent TB”, “relapse”, “case after failed treatment” dan “case after stopped treatment”.
Kami juga mengukur tempoh masa untuk TB berulang selepas pesakit selesai menjalani rawatan, dan membahagikannya kepada dua jenis TB berulang berdasarkan tempoh masa:
- TB datang kembali dalam masa 2 tahun selepas rawatan selesai
- TB berulang lebih daripada 2 tahun selepas rawatan selesai
Apakah Dapatan Kajian Ini?
Kajian ini mendapati bahawa sebanyak 7.8% pesakit Tuberculosis mengalami jangkitan berulang selepas rawatan. Peratusan ini lebih tinggi berbanding kajian yang dilakukan di Kelantan dan Singapura. Hal ini kerana kajian ini merangkumi semua pesakit TB, manakala kedua-dua kajian yang lain hanya memfokuskan kepada kumpulan pesakit TB yang mempunyai gejala khusus.
Negeri Sembilan juga menunjukkan peratusan yang lebih tinggi berbanding Kelantan, yang mungkin disebabkan oleh pembangunan yang lebih pesat serta akses yang lebih mudah kepada teknologi dan makmal kajian moden. Hasilnya, dapatan kajian dapat diperoleh dengan lebih tepat.
Kebarangkalian untuk Tuberculosis berulang adalah rendah, dengan 0.5% kebarangkalian selepas 1 tahun dan 3.9% kebarangkalian selepas 5 tahun. Ini menunjukkan bahawa semakin jauh jarak masa selepas rawatan, semakin tinggi kebarangkalian untuk jangkitan TB berulang kembali. Namun, peratusannya kekal rendah jika rawatan dan pemerhatian dilakukan dengan teliti.
Apakah Faktor yang Mempengaruhi Tuberculosis Berulang?
Faktor-faktor yang mempengaruhi kejadian Tuberculosis berulang pula diukur dari segi umur, berat badan, HIV, penyakit paru-paru yang lain, rawatan serta faktor persekitaran.
Kajian mendapati warga emas berusia lebih 60 tahun bukan antara faktor utama TB berulang kembali, seperti kajian lalu yang telah dijalankan di Afrika Selatan yang mendapati warga emas lebih dilindungi daripada TB berulang, dan golongan berumur 40–49 tahun mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding mereka yang berumur di bawah 30 tahun.
Malah, 80.3% daripada peserta dalam kajian ini berumur di bawah 60 tahun, yang menunjukkan bahawa TB berulang bukan ditentukan oleh umur semata-mata.
Faktor HIV juga menjadi persoalan kerana HIV menyebabkan sistem imunisasi menjadi rendah dan menjadikan badan kurang kebal terhadap jangkitan. Namun, kajian ini mendapati HIV tidak dapat dipastikan sebagai antara faktor utama Tuberculosis berulang kerana pesakit yang terlibat dalam kajian ini mengikut panduan rawatan HIV dan rawatan susulan seperti yang diarahkan.
Sebaliknya, berat badan menjadi antara punca utama episod TB berulang. Pesakit yang gagal menambahkan 5% daripada berat badan asal selepas rawatan lebih cenderung untuk kembali mengalami jangkitan TB.
Penyakit paru-paru seperti asma, silicosis dan COPD juga menjadi risiko utama Tuberculosis berulang kerana kerosakan yang telah berlaku pada paru-paru. Kerosakan ini memudahkan bakteria untuk membiak dan melemahkan paru-paru untuk melawan jangkitan.
Kajian juga mendapati pesakit yang menerima rawatan kali kedua (apabila ubat yang lebih kuat digunakan) lebih berisiko mendapat jangkitan TB berulang.
Akhir sekali, pesakit yang tinggal di pusat jagaan lebih berisiko mengalami TB berulang kerana faktor imunisasi yang lemah, tahap kesedaran staf pusat jagaan yang kurang terhadap TB, serta jarak antara individu yang rapat.
Kesimpulan
Kajian ini melaporkan sebanyak 7.8% pesakit di Negeri Sembilan mengalami TB berulang, dan antara faktor yang mempengaruhi episod ini termasuklah penambahan berat badan yang normal, ubat-ubatan serta penyakit paru-paru yang lain.
Antara cadangan penambah baikan yang boleh dilakukan termasuklah menambah pemerhatian kes TB berulang dalam program kawalan jangkitan TB, mengenal pasti individu berisiko TB berulang di peringkat awal, pemeriksaan TB di pusat jagaan secara berkala serta mewajibkan individu dengan masalah paru-paru diperiksa untuk jangkitan TB.
Amalan gaya hidup sihat melalu pemakanan juga perlu diterapkan semasa fasa intensif rawatan untuk memastikan berat badan pesakit meningkat secara normal, iaitu 5% lebih daripada berat badan asal sepanjang rawatan.
Apa Yang Kita Boleh Dapat Daripada Kajian Ini?
- Jangkitan Tuberculosis (TB) bukanlah hanya berlaku sekali Sahaja. Penyakit TB boleh terjadi lagi, terutama apabila kita tidak melengkapkan rawatan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
- Pemakanan yang sihat amat penting dalam mencegah penyakit TB berulang.
- Lengkapkan pengambilan ubat-ubatan mengikut dos yang ditetapkan, walaupun anda berasa telah sembuh.
- Sila maklumkan pada doktor anda sekiranya anda mempunyai sejarah atau masalah paru-paru seperti asma dan COPD.





