Oleh Dr Hareez Noorman
Dikemaskini pada 7 Mei 2026
Tahukah anda, sebenarnya sakit jari tangan kita berpunca akibat rutin harian kita seperti menekan pen dan memegang barang?
Kandungan
Pendahuluan
Sewaktu kecil suka main tekan- tekan jari, untuk bunyi seperti belon pop! Tapi waktu dewasa, tekan-tekan buku jari sebab nak legakan sakit jari. Tapi apa punca sakit jari sebenarnya?
Dalam kebanyakan kes, sakit jari hanya berlaku sementara dan hilang dengan sendirinya. Namun, ini tidak bermaksa ianya sesuatu yang boleh diambil acuh tak acuh.
Kadang-kadang, sakit yang ringan sebenarnya tanda awal masalah sendi jari atau saraf. Dan semestinya, kalau kita abaikan akan menjadi lebih serius!
Artikel kali ini akan menerangkan 8 punca sakit jari tangan, bermula daripada kecederaan sehingga penyakit autoimun.
8 Punca Sakit Jari Tangan Yang Biasa Terjadi
Kecederaan tangan
Kaum wanita pasti boleh relate. Tengah sibuk menyiang ikan dan sayur di dapur, tiba-tiba terasa pedih di jari. Tiada darah yang mengalir, tapi terasa pedih dan ngilu.
Itu tandanya jari anda mungkin terhiris sedikit oleh benda tajam. Luka hirisan boleh berpunca daripada benda tajam seperti pisau, kertas, atau permukaan kesat seperti kertas pasir. Luka yang dalam juga boleh menyebabkan pendarahan.
Bukan sekadar terhiris, sakit jari tangan juga boleh disebabkan oleh tulang patah dan kuku patah. Sakit jari kerana patah boleh berlaku secara tiba-tiba selepas kemalangan atau trauma.
Kanak-kanak lebih cenderung untuk terkena kecederaan ini sewaktu fasa aktif mereka.
Radang Tendon
Radang tendon, juga dikenali sebagai tendonitis berlaku apabila lapisan yang melindungi tendon ketika meregang merengsa dan membengkak.
Ini menyebabkan tendon yang terjejas susah untuk bergerak lancar, dan pergerakan berulang boleh menyebabkan iritasi dan membentuk nodul yang menyebabkan tendon makin susah untuk membengkok.
Tendonitis menyebabkan anda berasa sakit pada bahagian jari terutama ketika bergerak, jari kaku, bengkak dan terasa seperti retak ketika membengkokkan jari.
Trigger Finger
- Pada mulanya, ianya sekadar satu bunyi klik pada jari anda ketika membuka penutup jar kaca.
Tanpa anda sedar, itulah permulaan kepada jari terkunci, dikenali sebagai trigger finger.
Trigger finger adalah salah satu tenosynovitis atau radang tendon yang menyebabkan jari mengeras dan terkunci di satu tempat. Kebanyakan kes trigger finger terjadi pada wanita dan warga berumur 40-60 tahun.
Simptom trigger finger biasanya dapat dilihat ketara apabila jari anda terkunci dalam kedudukan terlipat dan anda tidak dapat meluruskan jari anda seperti biasa.
Selain itu, anda mungkin berasa sakit jari pada bahagian tendon, serta terbentuknya nodul (ketumbuhan kecil pada pangkal jari berdekatan tapak tangan, yang sakit apabila ditekan.
Individu yang berisiko mendapat trigger finger termasuklah:
- Individu dengan pekerjaan yang sering menggunakan tangan dan jari seperti kerani, mekanik, pemuzik, dan pekerja perubatan.
- Pesakit diabetes atau tiroid
- Pesakit rheumatoid arthritis
- Wanita berusia 50 tahun ke atas
Osteoarthritis
Jangan sangka semua jari rasa terkunci atau lenguh itu trigger finger. Ada kemungkinan anda terkena osteoarthritis.
Osteoarthritis pula merupakan penyakit yang dialami oleh kebanyakan warga emas. Osteoarthritis terjadi akibat pereputan tulang rawan sendi.
Ini menyebabkan tulang sendi lebih mudah bergesel antara satu sama lain, dan menyebabkan rasa sakit dan kaku.
Kebiasaannya, osteoarthritis menyerang sendi jari telunjuk dan jari tengah, dan tangan yang sering digunakan lebih mudah terkena osteoarthritis.
Antara symptom osteoarthritis termasuklah sakit jari, bengkak, dan jari terasa kejang.
Osteoarthritis juga menyerang sendi lutut anda. Ketahui maklumat lengkap di sini
Rheumatoid Arthritis
Berbeza dengan osteoarthritis, arthritis yang satu ini adalah kenapa penyakit autoimun.
Rheumatoid arthritis terjadi apabila sistem imunisasi tubuh menyerang sel tubuh badan yang normal, dan membebaskan bahan kimia yang menyebabkan keradangan pada synovium.
Hasilnya, synovium meradang dan menjadi lebih tebal, menyebabkan kawasan yang terjejas sakit, bengkak dan sukar melakukan pergerakan.
Simptom rheumatoid arthritis termasuklah sakit jari kedua-dua tangan secara simetri, bengkak, dan jari terasa keras dan kaku.
Carpal Tunnel
Carpal Tunnel pula terjadi akibat saraf median yang terletak pada pergelangan tangan tersepit. Saraf median ini mengawal pergerakan dan deria rasa pada tiga jari pertama anda.
Apabila saraf median tersepit, berlakunya tekanan dan menyebabkan carpal tunnel menjadi bertambah sempit.
Sindrom ini membuatkan jari anda berasa kebas, rasa bersemut, dan lemah pada bahagian jari anda.
Anda juga boleh berasa sakit jari dan telapak tangan, dan sesetengah individu mungkin akan terasa sakit hingga siku dan lengan.
Multiple Sclerosis
Multiple Sclerosis (MS) merupakan penyakit autoimun yang mengganggu saraf pada otak, mata dan tulang belakang.
MS terjadi apabila sistem imunisasi tubuh menyerang lapisan lemak yang melindungi mielin. Hal ini menyebabkan otak tidak dapat menghantar isyarat pada seluruh tubuh.
Bagaimana MS menyebabkan sakit jari tangan?
Kerosakan pada sistem saraf pusat akibat MS boleh mengganggu isyarat yang mengawal sensasi dan pergerakan tangan. Sistem badan menganggap isyarat yang dihantar sebagai kesakitan.
Pesakit MS mengalami rasa sakit jari seakan-akan terbakar, mencucuk-cucuk, berdenyut dan seperti terkena renjatan elektrik.
Otot yang lemah di sekitar jari juga boleh menyumbang kepada sakit jari tangan akibat MS. Malah, otot kejang boleh menyebabkan tangan membentuk cakaran, yang menyebabkan rasa sakit melampau.
Fenomena Reynaud
Fenomena Reynaud pula berlaku apabila pembuluh darah arteri menyempit yang menyebabkan pengaliran darah berkurang. Perempuan lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini berbanding lelaki.
Antara simptom fenomena Reynaud ini termasuklah jari menjadi sejuk dan kebas sebagai tindak balas pada suhu sejuk dan tekanan, kawasan yang terjejas bertukar putih dan kemudiannya membiru, serta jari tangan terasa sakit dan mencucuk-cucuk semakin bertambahnya suhu menjadi lebih panas.
Rawatan Sakit Jari Tangan
Setiap puncanya mempunyai cara rawatan yang berbeza, Untuk sakit jari yang ringan, rawatan di rumah mungkin memadai.
Namun, untuk masalah yang lebih serius seperti arthritis atau carpal tunnel syndrome, anda disarankan untuk berjumpa dengan pakar dan mendapatkan bantuan perubatan.
Antara rawatan di rumah termasuklah;
- Rehat
- Tuam kawasan tercedera dengan ais
- Ubat tahan sakit
- Senaman regangan
Rawatan perubatan pula merangkumi;
- Fisioterapi
- Suntikan steroid
- Pembedahan
Penutup
Kesakitan pada jari tangan bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Sama ada ia berpunca daripada kecederaan, arthritis, atau masalah tendon, mengenal pasti punca awal boleh membantu kita rawat masalah dengan lebih cepat dan elakkan daripada sakit anda menjadi lebih parah.
Ringkasan Q & A
Apakah punca sakit jari tangan yang biasa berlaku?
Sakit jari tangan boleh berpunca daripada beberapa keadaan seperti kecederaan, radang tendon, trigger finger, osteoarthritis, rheumatoid arthritis, carpal tunnel syndrome, multiple sclerosis, dan fenomena Reynaud.
Apakah tanda-tanda trigger finger?
Trigger finger biasanya bermula dengan rasa klik atau tersangkut pada jari. Lama-kelamaan, jari boleh terkunci dalam posisi terlipat dan sukar diluruskan. Pesakit juga mungkin mengalami sakit pada pangkal jari atau terasa nodul kecil yang sakit apabila ditekan.
Siapakah yang lebih berisiko mengalami trigger finger?
Trigger finger lebih kerap berlaku kepada wanita, individu berusia 40 hingga 60 tahun, pesakit diabetes, pesakit tiroid, pesakit rheumatoid arthritis, serta mereka yang kerap menggunakan tangan dan jari seperti kerani, mekanik, pemuzik dan pekerja perubatan.
Bagaimana arthritis boleh menyebabkan sakit jari tangan?
Osteoarthritis berlaku apabila tulang rawan sendi semakin haus, menyebabkan tulang bergesel dan menimbulkan sakit serta kekakuan. Rheumatoid arthritis pula berlaku akibat penyakit autoimun yang menyebabkan keradangan pada sendi, biasanya melibatkan kedua-dua tangan secara simetri.
Apakah beza carpal tunnel dengan sakit jari biasa?
Carpal tunnel berlaku apabila saraf median di pergelangan tangan tersepit. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan sakit jari, tetapi juga kebas, rasa bersemut, lemah pada jari, dan kadang-kadang sakit yang merebak hingga ke tapak tangan, siku atau lengan.
Bila perlu berjumpa doktor untuk sakit jari tangan?
Anda disarankan berjumpa doktor jika sakit jari semakin teruk, jari terkunci, bengkak berpanjangan, kebas, lemah, sukar digerakkan, atau mengganggu aktiviti harian. Rawatan di rumah mungkin membantu untuk kes ringan, tetapi masalah seperti arthritis, trigger finger atau carpal tunnel mungkin memerlukan rawatan perubatan.






