Pendahuluan
Semakin dimamah usia, tidak dinafikan kita semua lebih terdedah kepada pelbagai jenis penyakit. Ada penyakit yang disebabkan faktor luar, di mana antibodi badan manusia tidak sekuat waktu muda dahulu untuk melawan. Sebab itulah ibu ayah kita lebih mudah demam dan batuk-batuk, terutama apabila musim demam tiba.
Terdapat juga penyakit tidak berjangkit yang membunuh sekurang-kurangnya 43 juta orang pada tahun 2021. Antara penyakit tidak berjangkit yang berbahaya termasuklah sakit jantung, obesiti dan diabetes.
Disebabkan oleh kaitan usia dan peningkatan risiko penyakit tidak berjangkit ini, gaya hidup sihat juga memainkan peranan dalam menentukan kehidupan berusia yang sihat. Malah, kerajaan Malaysia juga menyokong proses menua secara sihat (healthy ageing) dengan membentuk Dasar Warga Emas Negara 2011 dan Pelan Tindakan Kesihatan Warga Emas 2023-2030, dan mensasarkan umur sebelum bersara sekitar 45 hingga 60 tahun.
Apabila bercerita tentang penuaan sihat ini, aktiviti fizikal memainkan peranan utama untuk tubuh badan kekal sihat. Namun, 1/3 daripada rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sedentari dan tidak aktif. Gaya hidup sedentari ini meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit.
Kakitangan kesihatan menyumbang kepada 32.8% hingga 45.6% dalam peratus masyarakat yang tidak aktif. Ini menyangkal persepsi golongan ini sebagai muka depan kesihatan yang positif.
Oleh itu, kami telah menjalankan satu kajian untuk melihat mengetahui berapa ramai kakitangan kesihatan kerajaan yang hampir bersara tidak aktif secara fizikal, serta faktor-faktor yang berkaitan dengan keadaan tersebut.
Artikel kajian: Physical inactivity and its associated
factors among pre-retirement government
healthcare workers in Kuala Lumpur, Malaysia
Apa Yang Kami Kaji?
- Tahap ketidakatifan fizikal
- Faktor-faktor yang mempengaruhi ketidakaktifan fizikal
Siapa Yang Terlibat?
- Kakitangan kesihatan berumur 45 hingga 60 tahun yang berkhidmat di bawah Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur yang merangkumi ibu pejabat, 4 Pejabat Kesihatan Daerah, 24 klinik kesihatan, 22 klinik komuniti dan 1 hospital tertiari khusus.
Bagaimana Kajian Dijalankan dan Dianalisis?
- Kajian menggunakan soal selidik yang diedarkan melalui Google Forms.
- Seramai 233 responden dipilih secara rawak.
- Kajian diajalankan antara Mei hingga Jun 2023.
- Soal selidik merangkumi maklumat demografi, status kesihatan, faktor pekerjaa, tahap aktiviti fizikal, halangan untuk melakukan aktiviti fizikal, gaya hidup serta kesedaran terhadap panduan aktiviti fizikal.
- Data dianalisis untuk melihat faktor-faktor utama yang berkaitan dengan tahap gaya hidup tidak aktif.
Hasil Dapatan Penting Kajian
Kajian mendapati bahawa 39.7% kakitangan kesihatan yang hampir bersara tidak aktif secara fizikal, dan lebih tinggi daripada populasi umum Malaysia. Kajian ini selari dengan kajian terdahulu yang menunjukkan kakitangan kesihatan mempunyai tahap aktiviti fizikal yang lebih rendah.
Beberapa faktor utama telah dikenal pasti mempunyai pengaruh terhadap ketidakaktifan fizikal.
- Kakitangan kesihatan dengan tahap pendidikan lebih rendah didapati lebih cenderung untuk tidak mengamalkan gaya hidup aktif. Hal ini mungkin terjadi kerana kurangnya kesedaran terhadap kepentingan aktiviti fizikal.
- Kakitangan bukan Melayu menunjukkan risiko kurangnya aktiviti fizikal berbanding kakitangan Melayu, dipengaruhi oleh faktor budaya dan keutamaan terhadap keluarga serta kekangan masa.
- Golongan pengurusan dan professional lebih tidak aktif berbanding kakitangan sokongan seperti jururawat dan pembantu perubatan, berkemungkinan kerasa sifat tugas mereka yang sedentari dan kurang melibatkan pergerakan fizikal.
- Faktor halangan peribadi seperti keletihan, kurang masa dan kurang disiplin menyumbang kepada ketidaktifan fizikal.
- Halangan sosial seperti kurangnya sokongan dan motivasi daripada rakan sekerja atau keluarga, serta faktor persekitaran seperti cuaca panas atau hujan serta kekurangan kemudahan untuk bersenam yangsesuai menjadi faktor utama yang menghalang pelnglibatan dalam aktiviti fizikal.
Cadangan Penambahbaikan
Berdasarkan kajian, program intervensi untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal ini perlu dirancang secara bersasar, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi, melalui pendekatan menyeluruh dan praktikal.
Selain daripada program kesedaran, saringan tahap aktiviti fizikal boleh diintegrasi dalam program pemeriksaan kesihatan berkala di tempat kerja. Melalui saringan ini, kakitangan yang dikenal pasti mempunyai tahap aktiviti fizikal yang rendah boleh diberikan bimbingan yang bersesuaian.
Pada masa yang sama, pendidikan dan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan aktiviti fizikal serta garis panduan terkini perlu diperkukuh agar kakitangan lebih memahami manfaat aktiviti fizikal terhadap kesihatan dan kualiti hidup menjelang persaraan.
Selain itu, setiap halangan kepada aktiviti fizikal perlu diatasi. Sebagai contoh, halangan persekitaran dapat diatasi dengan mewujudkan mini gimnasium atau ruang aktiviti fizikal tertutup di tempat kerja. Penganjuran aktiviti rekreasi berkumpulan selama 20-30 minit setiap hari dapat membentuk disiplin diri dan mengatasi masalah kekangan masa dalam kalangan kakitangan kesihatan.
Seterusnya, penggunaan teknologi AI disyorkan untuk mempromosi gaya hidup aktif melalui pelan aktiviti yang khusus mengikut individu, pemantauan tahap kecergasan, dan insentif kesihatan. Pendekatan ini dijangka dapat meningkatkan penglibatan berterusan dalam aktiviti fizikal dan menyokong usaha promosi kesihatan di tempat kerja secara lebih berkesan dan mampan.
Kesimpulan
Kajian ini menunjukkan bahawa ketidakaktifan fizikal dalam kalangan kakitangan kesihatan yang hampir bersara berada pada tahap yang membimbangkan. Pendekatan yang menyeluruh sangat penting dengan memberi tumpuan kepada faktor individu, sosial dan persekitaran untuk menangani isu ini.
Dengan strategi yang tepat, pihak berkepentingan dapat memperkukuh program promosi kesihatan tempat kerja dan meningkatkan kesejahteraan kakitangan kesihatan secara menyeluruh.
Apa Yang Kita Boleh Belajar Daripada Kajian Ini?
- Tak kira kerja apa, kita semua berisiko jadi kurang aktif.
- Kajian ini menunjukkan bahawa walaupun kakitangan kesihatan tahu tentang kepentingan bersenam, ramai masih kurang bergerak kerana kerja yang sibuk dan rutin harian.
- Masalah utama bukan malas, tetapi kurang masa dan tenaga.
- Keletihan selepas kerja, jadual yang padat, cuaca panas atau hujan sering menjadi sebab utama orang tidak bersenam.
- Kerja yang banyak duduk boleh menjejaskan kesihatan.
- Mereka yang bekerja di pejabat atau jawatan pengurusan lebih cenderung kurang bergerak berbanding kerja yang memerlukan pergerakan fizikal.
- Senaman setiap hari walaupun ringan amatlah penting.
- Aktiviti ringkas seperti berjalan, regangan, atau senaman 20–30 minit sehari sudah cukup untuk memberi impak positif pada tubuh badan yang sihat.
Seperti permata yang makin lama makin berharga, tubuh yang dijaga dengan gaya hidup sihat akan makin bernilai seiring usia.
Rujukan: Dapari, R., Wahab, M. R. A., Zamzuri, M. I. A., Hassan, M. R., Dom, N. C., & Rahim, S. S. S. A. (2024). Physical inactivity and its associated factors among pre-retirement government healthcare workers in Kuala Lumpur, Malaysia. BMC public health, 24(1), 1926. https://doi.org/10.1186/s12889-024-19411-y







