“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Kandungan
Pendahuluan
Bulan Ramadan telah tiba. Inilah masanya umat Islam menunaikan rukun Islam yang ketiga, iaitu berpuasa.
Berpuasa bermaksud umat Islam menahan diri daripada makan dan minum, serta menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Namun, berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum. Terdapat juga beberapa larangan lain ketika berpuasa, termasuklah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka.
Rongga badan yang terbuka ialah:
- Rongga telinga
- Mulut
- Rongga hidung
- Rongga kemaluan depan dan belakang
Oleh itu, sering timbul persoalan berkaitan hukum apabila melibatkan rongga-rongga ini. Sebagai contoh, adakah mencuci telinga membatalkan puasa? Atau adakah suntikan ke dalam badan, seperti suntikan gel lutut, menyebabkan puasa menjadi tidak sah?
Disebabkan kekeliruan ini, ramai dalam kalangan kita memilih untuk tidak menjalani sebarang rawatan kerana rasa was-was. Namun, benarkah semua bentuk rawatan membatalkan puasa jika melibatkan rongga badan? Artikel ini akan membincangkan tiga bentuk rawatan serta hukum berkaitannya.
Adakah Suntikan Lutut Rawatan Membatalkan Puasa?
Suntikan rawatan lutut seperti gel lutut, rawatan pemulihan semula jadi, dan steroid menjadi pilihan untuk mengurangkan sakit lutut, terutamanya akibat osteoartritis. Namun, sering timbul kerisauan sama ada ini antara suntikan rawatan membatalkan puasa kerana melibatkan kemasukan bahan ke dalam badan.
Suntikan gel lutut tidak membatalkan puasa kerana suntikan tersebut tidak dilakukan melalui rongga badan yang terbuka. Gel disuntik ke dalam sendi lutut, yang tidak dikira sebagai rongga badan terbuka. Kandungan gel lutut juga tidak memberi nutrisi yang masuk ke perut atau berfungsi sebagai makanan serta pemberi tenaga.
Bagaimana pula dengan rawatan pemulihan semula jadi yang menggunakan darah sendiri
Sama seperti rawatan gel lutut, suntikan ini juga bukan antara rawatan membatalkan puasa kerana suntikan dilakukan untuk tujuan perubatan dan disuntik ke dalam sendi lutut, yang bukan antara rongga badan yang terbuka.
Mungkin timbul persoalan kerana rawatan ini melibatkan pengambilan darah. Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah berbekam ketika baginda sedang berpuasa. Ini menunjukkan orang yang berpuasa boleh mengeluarkan darah mereka, sama ada untuk tujuan derma darah atau ujian makmal.
Adakah Suntikan Insulin Rawatan Membatalkan Puasa?
Insulin ialah hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Fungsinya adalah untuk mengawal paras gula dalam badan, dan suntikan insulin sangat membantu pesakit kencing manis (diabetes).
Namun, adakah insulin menjadi rawatan membatalkan puasa kerana memberi nutrisi pada tubuh badan?
Jawapannya tidak.
Menurut Irsyad Al-Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, suntikan insulin dibenarkan ketika berpuasa kerana:
- Suntikan tidak memasuki rongga makanan, sebaliknya hanya di bawah kulit.
- Suntikan insulin bukan bertujuan memberi nutrisi atau mengenyangkan.
- Insulin berfungsi sebagai rawatan kesihatan.
Walau bagaimanapun, anda disarankan untuk mengelakkan suntikan pada bahagian perut atau punggung. Kedua-dua bahagian ini berdekatan dengan rongga badan, dan dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan berkaitan hukum puasa.
Selain itu, anda juga perlu berhati-hati terhadap kesan sampingan insulin, iaitu hipoglisemia, keadaan di mana paras gula dalam badan menjadi terlalu rendah sehingga menyebabkan badan lemah.
Adakah Rawatan Cuci Telinga Membatalkan Puasa?
Telinga mempunyai saluran yang dianggap sebagai rongga terbuka dalam perbincangan hukum puasa. Oleh itu, ramai yang ragu-ragu dan kadangkala terus mengelakkan pembersihan telinga. Namun, sakit telinga kadangkala berlaku tanpa diduga.
Jadi seringkali menjadi persoalan jika kita boleh melakukan rawatan telinga atau adakah puasa kita terbatal?
Bagi kes mengorek telinga, perbuatan tersebut boleh membatalkan puasa sekiranya sesuatu dimasukkan melepasi bahagian luar saluran telinga. Maksudnya, objek yang dimasukkan benar-benar memasuki lubang telinga sehingga gegendang dan melepasinya.
Secara mudah, jika membersihkan telinga menggunakan jari kelingking atau hujung jari, kebiasaannya tidak sampai ke bahagian tersebut. Namun, jika menggunakan alat, terdapat kemungkinan ia memasuki saluran telinga yang dalam dan menimbulkan isu adakah puasa kita sah.
Namun, puasa boleh batal jika melepasi had batin, iaitu sampai ke gendang telinga dan melampauinya.
Berkaitan ubat titis telinga, Majma’ Al-Fiqh Al-Islami menyatakan bahawa penggunaan ubat titis telinga tidak membatalkan puasa. Walau bagaimanapun, jika gegendang telinga bocor atau pecah, ia membatalkan puasa kerana titisan berkemungkinan melepasi had batin saluran telinga.
Bagaimana Pula dengan Rawatan Microsuction?
Rawatan microsuction ialah prosedur pembersihan telinga yang menyedut kotoran dari liang telinga tanpa menembusi gegendang telinga. Oleh itu, rawatan microsuction selamat untuk dilakukan ketika berpuasa.
Apakah Rawatan Membatalkan Puasa?
Antara rawata membatalkan puasa termasuk:
- Suntikan glukosa kerana glukosa mempunyai nutrient yang terus masuk ke badan dan memberi tenaga.
- Hemodialisis kerana proses ini membolehkan cecair dan nutrient diserap masuk ke dalam darah melalui mesin.
- Pengambilan ubat secara oral kerana ditelan masuk ke dalam perut
- Penggunaan speculum dalam faraj kerana memasukkan sesuatu ke dalam rongga kemaluan.
Penutup
Secara keseluruhannya, tidak semua rawatan membatalkan puasa. Penentuan hukum bergantung pada kaedah rawatan, laluan kemasukan bahan ke dalam badan, serta tujuan rawatan sama ada bersifat nutrisi atau perubatan.
Oleh itu, pesakit tidak perlu menangguhkan rawatan yang diperlukan kerana kebimbangan tanpa asas yang jelas. Jika masih ragu-ragu, dapatkan nasihat daripada pegawai perubatan dan pihak berautoriti agama agar rawatan dapat dijalankan dengan yakin tanpa menjejaskan ibadah puasa.
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?
Rasai Sendiri Kelainan Rawatan Sakit Lutut di Klinik Tuah
Ketahui mengapa di Klinik Tuah , Rawatan Lututnya berbeza dengan yang lain







