Dalam MRT, anda duduk diam, larut dalam dunia sendiri. Headphone terpasang, jari sibuk menatal skrin, hanyut dalam muzik sambil menunggu destinasi seterusnya. Di sekeliling, orang lain pun sama, terperangkap dalam dunia masing-masing.
Sampai di stesen anda, anda menanggalkan headphone. Tetapi, telinga tiba-tiba berdesing tanpa henti. Anda mula rasa tak selesa.
“Eh, kenapa tiba-tiba telinga aku berdesing ni?”
Kandungan
Pendahuluan
Pernah tak anda alami situasi begini? Tengah duduk diam-diam, tiba-tiba telinga berbunyi seperti siulan halus atau dengungan yang mengganggu. Ada orang kata, kalau telinga berdesing, mungkin ada yang mengumpat kita.
Yang lebih seram, ada juga kepercayaan lama mengatakan ia tanda seseorang menghantar santau atau makhluk halus sedang berbisik di telinga.
Tapi, benarkah semua ini? Atau ada penjelasan dari sudut perubatan yang lebih logik? Jom kita bongkar misteri telinga berdesing dan sebab-sebab ia berlaku!
Mengapa telinga boleh berdesing?
Bisikan yang anda dengar bukanlah anasir jahat, tetapi telinga anda mungkin mengalami tinnitus.
Tinnitus ialah keadaan di mana anda dapat mendengar bunyi lain dalam telinga tanpa sumber bunyi daripada luar. Bunyi ini boleh berlaku samada hanya dari telinga kiri , telinga kanan atau kedua-dua telinga.
Tinnitus bukanlah penyakit tetapi gejala yang berpunca daripada pelbagai sebab. Tinnitus juga bersifat sementara, boleh datang dan pergi.
Antara gejala tinnitus ialah:
- Telinga berdesing
- Telinga berdengung
- Bunyi Siulan
- Bunyi Senandung
Jadi apakah punca telinga berdesing?
11 Punca Telinga Berdesing Akibat Tinnitus
Otitis Media
Otitis media adalah jangkitan dalam telinga, biasanya di bahagian tengah telinga. Ia berpunca daripada saluran eustachian yang tersumbat. Cecair yang terperangkap di antara saluran ini menggalakkan perkumpulan bakteria dan virus dalam telinga yang mengakibatkan jangkitan ini.
Otitis media boleh mengganggu tekanan dalam telinga yang menyebabkan telinga berdesing. Menurut kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Audiology pada tahun 2018, 69% individu yang telah mengalami otitis media melaporkan telinga mereka berdesing (tinnitus).
Terdedah kepada bunyi kuat
“Noise-cancelling earphone” menjadi pilihan ramai, terutama anak-anak muda yang ingin menikmati alunan muzik semata-mata tanpa gangguan suara-suara luar.
Namun, tanpa sedar kelantangan daripada headphone itu boleh mendatangkan satu bunyi berdesing dalam telinga. Dan bunyi itu tidak hilang, malah mengganggu hari-hari anda.
Itu adalah tanda tinnitus akibat kelantangan (volume) yang sangat tinggi. Masalah pendengaran boleh berlaku apabila telinga anda terdedah pada bunyi melebihi 115db.
Anda amatlah disarankan untuk menetapkan volume serendah mungkin (kurang 80%), dan hadkan pada 90 minit sehari.
Selain itu, anda juga harus berjaga-jaga ketika menghadiri konsert, seperti tidak duduk berhampiran pembesar suara.
Sekiranya anda bekerja di kawasan dengan kelantangan melebihi 115db seperti tapak pembinaan, kawasan perindustrian dan industri musik, disarankan untuk anda memakai penyumbat telinga, atau berehat seketika daripada bunyi untuk mengelakkan daripada deria pendengaran terjejas.
Usia
Presbycusis ialah hilang pendengaran di kedua-dua belah telinga akibat penuaan. Kira-kira 1 daripada 3 orang dewasa berusia antara 65 hingga 74 mengalami kehilangan pendengaran. Tinnitus merupakan antara tanda awal presbycusis.
Presbycusis terjadi kerana sel rambut halus dalam koklea semakin berkurang, perubahan pada dalam telinga serta faktor-faktor lain seperti terdedah pada bunyi kuat untuk jangka masa yang terlampau lama.
Kecederaan kepada kepala
Telinga berdesing juga boleh disebabkan kecederaan pada kepala. Ianya disebabkan oleh gegaran pada otak atau kecederaan otak (TBI).
Satu kajian pada tahun 2014 menunjukkan lebih 53% individu dengan TBI ini mengalami tinnitus.
Maka, sekiranya anda atau anak-anak anda kemalangan yang melibatkan hentakan di kepala, segera dapatkan pemeriksaan untuk mengelakkan daripada masalah lebih teruk.
Meniere’s Disease
Terdapat juga satu penyakit dikenali sebagai Meniere’s disease di mana cecair telinga di bahagian dalam telinga mempunyai masalah atau berlebihan. Lebihan cecair ini mengganggu isyarat yang dihantar daripada telinga dalam ke otak, menganggu keseimbangan dan pendengaran. Ketidak seimbangan ini membawa kepada telinga berdesing dan juga vertigo.
Antara punca Meniere’s disease ini termasuklah;
- Alahan
- Cedera kepala
- Migrain
- Jangkitan virus
Ubat-Ubatan
Terdapat beberapa jenis ubat bersifat ototoxic yang merosakkan sel-sel deria khusus dalam telinga bahagian dalam, dan membawa kepada telinga berdesing.
Antara ubat yang boleh menyebabkan telinga berdesing ini termasuklah;
- ubat tahan sakit bersifat NSAIDs dan acetaminophen.
- Aminoglycoside antibiotics
- Ubat kemoterapi
- Ubat diuretic
- Ubat anti-malaria
- Ubat anti-kemurungan (antidepressant)
- Beta blockers
Sekiranya anda mempunyai masalah telinga berdesing selepas mengambil ubat-ubatan ini, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Ketumbuhan
Telinga berdesing mungkin tanda ketumbuhan Schwannoma Vestibular. Ketumbuhan ini, juga dikenali sebagai neuroma akoustik, berkembang daripada saraf telinga dalam hingga ke otak.
Ketumbuhan ini bukanlah sejenis kanser, tetapi tekanan daripada ketumbuhan ini menyebabkan anda boleh hilang pendengaran, telinga berdesing dan hilang keseimbangan.
Masalah pada salur darah
Aliran darah yang tersekat atau tidak lancur berdekatan telinga boleh menyebabkan telinga berdesing. Sekiranya dibiarkan, ianya boleh mengakibatkan strok.
Terlalu Banyak Tahi Telinga
Apabila terlalu banyak tahi telinga terkumpul,ia menyebabkan gegendang telinga menjadi rengsa, yang menyebabkan telinga berdesing.
Tahi telinga yang terlampau banyak menghalang bunyi mencapai gegendang, dan hanya bunyi dari dalam telinga sahaja yang didengari.
Tahi telinga juga salah satu antara 6 punca lazim telinga tersumbat! Ketahui selanjutnya di sini
Masalah pada Saluran Eustachius
Saluran eustachius berfungsi untuk mengimbangi tekanan telinga Tengah, serta membantu dalam pengaliran cecair dalam telinga, dan mengelakkan telinga tersumbat.
Namun sekiranya saluran ini tidak dapat berfungsi dengan baik, ia boleh mengakibatkan telinga berdesing akibat daripada pengumpulan cecair tersumbat. Keadaan ini biasanya terjadi ketika anda selesema.
Ketahui Punca Telinga Tersumbat Akibat Selsema di Sini
Penyakit Kronik yang lain
Penyakit kronik seperti diabetes, tiroid, migrain, anemia dan penyakit autoimun juga boleh menyumbang kepada masalah tinnitus.
Cara Mengatasi Telinga Berdesing
- Gunakan pelindung telinga untuk mengelakkan kerosakan di saraf.
- Rendahkan kelantangan (volume) dan hadkan masa mendengar muzik.
- Dapatkan rehat yang cukup untuk mengurangkan tekanan pada kepala.
- Elakkan dari memakai putik kapas untuk membersihkan telinga.
Dapatkan Cara Mengatasi Telinga Tersumbat di sini
Kesimpulan
Telinga berdesing boleh berpunca daripada pelbagai faktor, seperti pendedahan bunyi kuat, jangkitan telinga, atau masalah pada saluran. Jika berlaku sekali-sekala, ia mungkin tidak serius, tetapi jika berlarutan, ia boleh menjejaskan kualiti hidup.
Untuk mengatasinya, elakkan bunyi bising berlebihan, pakai pelindung telinga, rehat secukupnya, dan dapatkan rawatan jika perlu.
Jangan biarkan bunyi ini mengganggu hidup anda. Cegah segera sebelum terlambat!
FAQ
Mengapa telinga berdesing untuk beberapa saat kemudian hilang?
Ia mungkin berkaitan dengan fenomena Acoustic Emission. Ia terjadi akibat bunyi semula jadi daripada koklea, dan mungkin bertindak balas apabila mendengar bunyi kuat.
Adakah stres boleh menyebabkan telinga berdesing?
Ya, stres dan keletihan boleh mnyebabkan atau memburukkan tinnitus kerana ia boleh menjejaskan sistem saraf dan peredaran darah.
Adakah telinga berdesing boleh menyebabkan masalah tidur?
Ya, bunyi berdesing yang berterusan boleh mengganggu tidur dan menyebabkan insomnia.
TIADA LAGI HIDUP DALAM diam dan sepi
RAWAT TELINGA ANDA
Dapatkan Rawatan di Klinik Tuah