“Adik, ibu nak sangat pergi tarawih dekat surau…”
Suara ibu perlahan, tapi penuh harapan. Aku menoleh, melihat dia mengurut lututnya perlahan. Bukan ibu tak mahu, tapi sakit lutut itulah yang menahan langkahnya.
Dulu, ibu paling awal tiba di surau. Setiap rukuk dan sujudnya sempurna, penuh khusyuk. Sekarang, setiap solat diiringi keluhan kecil, kadang-kadang terpaksa bersandar di kerusi.

Kandungan
Pendahuluan
Solat merupakan satu daripada lima rukun Islam yang setiap umat Islam wajib laksanakan. Dan haram untuk meninggalkan solat dalam apa jua keadaan sekalipun. Firman Allah SWT,
Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (Surah Ṭaḥa: 14)
Namun, Allah tidak akan membebani hamba-Nya melebihi kemampuan manusia. Oleh sebab itulah, terdapat rukhsah solat atau keringanan hukum yang disyariatkan. Rukhsah ini adalah salah satu tanda kasih sayang Allah SWT dan melambangkan Islam sebagai agama yang mudah untuk dilaksanakan dan tidak membebankan.
Sama juga seperti keuzuran, termasuk sakit lutut. Sakit lutut pasti menyebabkan susah untuk kita rukuk, sujud dan melipatkan kaki.
Tapi jangan risau, Islam itu agama yang memudahkan. Walaupun sakit lutut membataskan pergerakan, masih ada cara untuk solat dengan selesa dan sempurna.
Artikel ini akan membincangkan cara solat ketika sakit lutut, supaya ibadah tetap lancar dan penuh makna.
Panduan Cara Solat Ketika Sakit Lutut
Cara Solat Duduk Atas Kerusi (Tidak Mampu Sujud)
Solat ketika sakit lutut yang menghalang anda untuk sujud sempurna, namun masih boleh berdiri dan rukuk, maka anda wajib berdiri bagi yang mampu melakukannya.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.” (Riwayat al-Bukhari (1066))
Cara solat duduk atas kerusi adalah seperti berikut:
- Qiyam (berdiri) tegak semasa takbiratul ihram dan sempurnakan rukun berdiri. Solat terbatal jika seseorang membongkok tanpa sebab yang dimaafkan hingga tapak tangan menyentuh lutut.
- Rukuk dan iktidal seperti biasa.
- Semasa sujud, anda boleh duduk dan bongkokkan badan semampu anda dengan niat sujud. Melakukan sujud dalam keadaan isyarat adalah tidak wajib lagi menjadikan punggung lebih tinggi daripada kepala kerana sudah hilang bentuk sujud.
- Semasa duduk di antara dua sujud dan tahiyat, badan ditegakkan kembali dengan kedua-dua tangan di atas pangkal paha.
- Solat mengikut tertib sehingga selesai memberi salam.
Cara Solat Duduk Atas Kerusi (Tidak Mampu Rukuk & Sujud)
Cara solat ketika sakit lutut apabila rukuk dan sujud adalah seperti berikut:
- Qiyam (berdiri) tegak semasa takbiratul ihram dan sempurnakan rukun berdiri. Solat terbatal jika seseorang membongkok tanpa sebab yang dimaafkan hingga tapak tangan menyentuh lutut.
- Semasa rukuk, duduk atas kerusi dan tundukkan badan sedikit dengan kedua-dua tangan diletakkan di pangkal lutut.
- Tegakkan badan kembali semasa iktidal. Tangan diletakkan di pangkal paha.
- Semasa sujud, bongkokkan badan lebih sedikit daripada kedudukan rukuk.
- Semasa duduk di antara dua sujud dan tahiyat, badan ditegakkan kembali dengan kedua-dua tangan di atas pangkal paha.
- Solat mengikut tertib sehingga selesai memberi salam.
Cara Solat Duduk Atas Kerusi (Tidak Mampu Berdiri Lama)
Cara solat duduk atas kerusi tapi hanya mampu berdiri seketika adalah seperti berikut:
- Berdiri tegak semasa Takbiratul Ihram.
- Kemudian anda boleh meneruskan bacaan Al-Fatihah dan boleh duduk di pertengahan ketika mula rasa sakit. Orang yang mampu berdiri pada sebahagian solatnya dan tidak berdaya pada sebahagian yang lain, hendaklah berdiri setakat yang termampu dan bolehlah duduk pada semua bahagian yang lainnya.
- Ketika rukuk, tundukkan sedikit badan anda,dengan kepala sama paras dengan lutut atau semampu anda. Tapak tnagan anda diletakkan di pangkal paha.
- Iktidal dengan duduk tegak di atas kerusi.
- Semasa sujud, bengkokkan badan anda lebih rendah daripada rukuk.
- Duduk tegak untuk duduk antara 2 sujud dan tahiyat.
- Solat mengikut tertib sehingga selesai memberi salam.

Cara Solat Duduk Berlunjur
Cara solat ketika sakit lutut secara berlunjur adalah seperti berikut:
- Duduk dengan kaki berlunjur menghadap kiblat dan tapak kaki diluruskan menghadap kiblat. Kedudukan tangan sama seperti solat berdiri.
- Semasa rukuk, tunduk sedikit (sekadar yang mampu) dengan niat rukuk dan tapak tangan diletakkan di atas kepala lutut.
- Tegakkan badan semula untuk iktidal.
- Semasa sujud, bongkokkan badan anda lebih rendah sedikit daripada kedudukan rukuk.
- Semasa duduk di antara 2 sujud dan tasyhadul, tegakkan Kembali badan anda dengan tangan diletakkan atas lutut atau pangkal paha.

Bagaimana untuk Lebih Selesa Ketika Solat
- Guna sejadah tebal untuk mengurangkan impak dan tekanan pada lutut ketika sujud.
- Gunakan kusyen lutut khas untuk solat. Anda juga boleh menggunakan tuala yang dilipat dan diletakkan di bawah lutut semasa solat.
- Guna alat sokongan lutut seperti knee guard. Knee guard dapat memberi kestabilan ketika anda bergerak.
Cara Hilangkan Sakit Lutut Agar Lebih Mudah Beribadah
- Anda boleh melakukan senaman regangan untuk menguatkan otot di sekeliling lutut.
- Anda boleh mengamalkan makanan berkhasiat dan penuh dengan nutrient yang boleh membantu membina kembali
- Suplemen juga membantu dalam membaik pulih sel-sel yang rosak di dalam sendi dan tulang rawan.
- Anda juga boleh mengambil ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit ataupun suntikan steroid untuk kelegaan segera.
- Ataupun, sekiranya anda ingin rawatan yang lebih tahan lama, anda boleh mendapatkan rawatan suntikan gel lutut, rawatan pemulihan semulajadi di klinik dan pusat rawatan yang diiktiraf.
Ketahui dengan lebih terperinci 7 cara hilangkan sakit lutut agar selesa beribadah di sini
Kesimpulan
Islam adalah agama yang memudahkan, dan solat tetap boleh dilakukan walaupun dalam keadaan sakit. Rukhsah atau keringanan dalam solat diberikan sebagai bukti kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, supaya setiap umat Islam dapat menunaikan kewajipan ini dalam apa jua keadaan.
Dengan memahami cara solat ketika sakit lutut, anda atau orang tersayang masih boleh beribadah dengan selesa dan sempurna. Semoga panduan cara solat ketika sakit lutut ini membantu anda menunaikan solat dengan lebih yakin dan tenang.
Dapatkan panduan lengkap sakit lutut 101 di sini
FAQ
Bolehkah solat atas kerusi jika solat berjemaah?
Tiada masalah untuk anda solat berjemaah walaupun anda solat di atas kerusi. Tetapi, sebaiknya anda menggunakan kerusi kecil, dan duduk di hujung saf. Selarikan bahagian kaki belakang kerusi dengan kaki Jemaah sebelah anda.
Bolehkah saya duduk ketika solat sunat?
Tidak diwajibkan berdiri ketika solat sunat (walaupun tiada keuzuran). Namun, solat sunat ketika duduk ini pahala berkurangan daripada mengerjakan dalam keadaan berdiri.
Rujukan:
MAHUKAN HIDUP BEBAS KESAKITAN?