Skip to main content
EarwaxPenyakit Biasa

Ini Cara Bersihkan Telinga Yang Betul, Bukan Guna Putik Kapas!

By March 27th, 2025No Comments

Teka-teki untuk anda.

Apa benda yang nampak bersih, selalu digunakan, tapi boleh jadi punca masalah besar dalam telinga?

Jawapannya… putik kapas!

putik kapas bukan cara bersihkan telinga

Pendahuluan

Pernah tak rasa gatal dalam telinga, tapi bila korek dengan putik kapas, makin nikmat pula rasa?

Hati-hati, anda mungkin dah tolak tahi telinga makin dalam! Ramai orang anggap putik kapas itu fungsinya untuk bagi telinga lagi bersih, tapi sebenarnya ia mungkin menyebabkan tahi telinga makin tertolak jauh ke dalam.

Bukan saja boleh menyebabkan tahi telinga berkumpul dan mengeras, tapi juga berisiko mencederakan saluran telinga jika terlalu dalam. Malah, boleh menyebabkan kehilangan pendengaran! Seramai 1.57 bilion individu telah mengalami masalah kurang pendengaran pada tahun 2019, berdasarkan kajian yang telah diterbitkan pada tahun 2021.

Lebih parah, kalau terlalu kerap guna putik kapas, anda sebenarnya melatih telinga untuk menghasilkan lebih banyak tahi telinga! Bila selalu dikorek, kelenjar cerumen akan anggap telinga kering dan mula menghasilkan lebih banyak lilin sebagai perlindungan.

Akibatnya? Makin banyak tahi telinga, makin kerap korek telinga, makin banyak tertolak, dan lagilah telinga tersumbat!

Jadi, kalau anda selalu terasa telinga berdengung, kurang dengar, atau rasa macam ada sesuatu ‘tersekat’ di dalam, boleh jadi masalahnya bukan sebab putik kapas tak cukup panjang, tapi sebab cara anda bersihkan telinga selama ini salah!

Jadi, macam mana nak cuci telinga dengan betul tanpa buat ‘renovation’ dalam saluran telinga? Jom kita bongkar cara yang selamat dan berkesan!

Bagaimana Tahi Telinga Terhasil?

Tahi.

Sebut saja perkataan ini, pasti kita terus terbayang sesuatu yang kotor dan menjijikkan, bukan? Tapi tahukah anda bahawa tahi telinga sebenarnya berfungsi sebagai pelindung semula jadi bagi telinga anda?

Tahi telinga menghalang kemasukan bendasing seperti habuk, air, dan serangga ke dalam saluran telinga. Air yang terperangkap dalam telinga boleh menyebabkan keradangan, jadi kehadiran tahi telinga sebenarnya membantu memastikan telinga anda sihat.

fungsi earwax dalam artikel cara bersih telinga

Tahi telinga ialah bahan berlilin yang dirembeskan oleh kelenjar cerumen dan dihasilkan di bahagian luar saluran telinga. Ia boleh keluar secara semula jadi apabila anda mengunyah atau menggerakkan rahang.

Perlu ke Bersih Telinga?

Secara semula jadi, telinga mempunyai mekanisme pembersihan sendiri. Namun, ramai yang masih menggunakan putik kapas untuk membersihkan telinga, sedangkan tindakan ini berisiko menolak tahi telinga lebih dalam dan menyebabkan masalah lain.

Namun, jika anda mengalami tanda-tanda berikut, kemungkinan besar tahi telinga telah mengeras atau terkumpul terlalu banyak dan perlu dibersihkan:

  • Pendengaran terasa kurang jelas
  • Telinga berdesing atau berdengung
  • Rasa sakit di dalam telinga
  • Telinga terasa tersumbat

Cara Bersihkan Telinga Dengan Ubat Titis Telinga

Antara cara bersihkan telinga di rumah adalah dengan bantuan ubat titis telinga. Ubat titis telinga berfungsi untuk melembutkan tahi telinga, memudahkan anda untuk mengeluarkannya. Anda boleh membeli ubat titis telinga yang sesuai di farmasi berhampiran. Pastikan ubat titis mengandungi bahan aktif seperti:

  • Hydrogen Peroxide
  • Carbamide Peroxide
  • Acetic Acid
  • Docusate Sodium
  • Atau Sodium Bicarbonate
cara bersihkan telinga dengan ubat titis telinga klinik tuah

Cara Menggunakan Ubat Titis Telinga:

  1. Basuh tangan dengan bersih.
  2. Goncang botol ubat titis.
  3. Baring atau sengetkan kepala supaya telinga yang tersumbat menghadap ke atas.
  4. Tarik cuping telinga ke bawah dan belakang.
  5. Titiskan ubat mengikut dos yang disyorkan. Pastikan hujung penitis tidak menyentuh telinga.
  6. Kekal dalam posisi baring selama 5 minit supaya ubat dapat meresap.
  7. Lap lebihan ubat yang keluar dari cuping telinga.
  8. Jika kedua-dua telinga tersumbat, tunggu sekurang-kurangnya 30 minit sebelum merawat telinga sebelah lagi.
cara bersihkan telinga dengan ubat titis klinik tuah

Elakkan penggunaan ubat titis jika anda:

  • Mempunyai sejarah jangkitan telinga yang kerap
  • Mengalami gegendang telinga pecah
  • Pernah menjalani pembedahan telinga

Ketahui Mengapa Ubat Titis Telinga Tak Hilang Sakit Telinga Di Sini

Irigasi Telinga (Ear Irrigation)

Irigasi telinga ialah cara bersihkan telinga menggunakan semburan bertekanan tinggi menggunakan larutan saline. Teknik ini lebih selamat berbanding penggunaan putik kapas dan biasanya digunakan untuk mengeluarkan bendasing seperti tahi telinga yang keras atau serangga kecil.

Cara Melakukan Irigasi Telinga di Rumah:

  • Gunakan tuala atau bekas kecil untuk menampung cecair yang mengalir keluar.
  • Tarik atas telinga ke belakang supaya cecair lebih mudah masuk.
  • Letakkan hujung picagari di pintu masuk saluran telinga.
  • Semburkan larutan dengan perlahan.
  • Jika terasa sakit atau tekanan terlalu tinggi, hentikan irigasi serta-merta.
  • Keringkan telinga dengan kain bersih atau tisu.
cara bersihkan telinga dengan teknik irigasi telinga

Anda juga boleh menggunakan air suam dari paip hujan untuk membantu melembutkan tahi telinga:

  • Tetapkan suhu air kepada suam-suam kuku.
  • Sengetkan kepala dan biarkan air mengalir perlahan-lahan ke dalam telinga.
  • Jangan pancutkan air terus ke dalam telinga.
  • Sengetkan kepala ke arah bertentangan untuk mengeluarkan lebihan air.

Dapatkan Rawatan Pembersihan Telinga di Klinik

Jika kaedah di rumah tidak berkesan atau anda mengalami ketidakselesaan yang berpanjangan, sebaiknya dapatkan rawatan di klinik. Doktor boleh memeriksa keadaan telinga anda dan melakukan prosedur pembersihan yang lebih selamat, seperti ear irrigation atau microsuction.

Cara Bersihkan Sekeliling Telinga di Rumah

Walaupun cara ini tidak dapat mengeluarkan tahi telinga secara terus, namun ianya juga penting untuk mengelakkan pembiakan bakteria dan dan kotoran yang boleh menyebabkan telinga kotor dan juga jangkitan telinga.

Anda juga boleh melakukan teknik ini kepada bayi atau anak kecil anda untuk membersihkan telinga mereka. Gunakan sabun yang bersifat lembut pada kulit.

Langkah-langkahnya:

  • Basahkan tapak tangan dan gosok perlahan-lahan bahagian luar telinga, termasuk belakang telinga.
  • Bilas dengan air suam menggunakan teknik yang sama.
  • Gunakan jari untuk membersihkan lipatan telinga.
  • Keringkan telinga dengan kain bersih atau tisu.
cara bersihkan telinga sekeliling

Peringatan! Jangan halakan telinga terus pada paip air atau memasukkan air berlebihan ke dalam telinga kerana ini boleh menyebabkan air terperangkap dan menimbulkan masalah lain.

Kesimpulan

Jadi, sekarang anda tahu bahawa cara bersihkan telinga yang betul bukanlah dengan menggunakan putik kapas! Telinga mempunyai cara semula jadi untuk membersihkan diri, dan hanya perlu cuci bahagian luar saluran telinga sekiranya tahi telinga mengeras atau menyumbat telinga anda!

Jika anda mahu membersihkan telinga, gunakan kaedah yang betul seperti air suam, ubat titis telinga, atau irigasi telinga. Jika masih terasa tidak selesa, jangan ragu-ragu untuk mendapatkan rawatan di klinik.

Jaga telinga, jaga pendengaran!

Ketahui Punca Telinga Tersumbat Di Sini