

Johor, 1 Mei — Bagi mengukuhkan lagi semangat berpasukan dan memberi ruang untuk staf serta keluarga berehat seketika daripada rutin harian, Klinik Tuah sekali lagi telah menganjurkan percutian Family Day yang meriah di Radiant Teluk Seri, Mersing pada 1 hingga 3 Mei 2025.
Program ini melibatkan semua staf, doktor, dan keluarga daripada keempat-empat cawangan Klinik Tuah, menjadikannya salah satu program kebersamaan yang paling dinanti-nantikan tahun ini.
Malam pertama dimulakan dengan seramai 8 orang menyertai aktiviti candat sotong di laut, di bawah langit malam Mersing. Dalam masa yang sama, peserta lain di darat mengambil bahagian dalam sesi ice breaking dan mini games seperti rebut botol dan tiup bola pingpong. Suasana cukup meriah dan penuh gelak tawa, mencetuskan semangat kebersamaan sejak awal program.
Hari kedua menjadi tumpuan utama dengan aktiviti snorkeling dan hiking, yang disertai dengan semangat luar biasa. Keindahan alam semula jadi dan suasana santai membolehkan peserta merehatkan fikiran sambil menikmati kebersamaan bersama rakan sekerja dan keluarga.
Pada malam kedua, acara diteruskan dengan BBQ santai serta ucapan ringkas daripada pihak pengurusan sebagai penghargaan atas komitmen dan kerjasama semua pihak.
Sebelum bertolak pulang pada hari ketiga, majlis penyampaian hadiah telah diadakan untuk memeriahkan penutup program. Hadiah diberikan kepada peserta yang menunjukkan semangat dan penyertaan aktif sepanjang program.
Program ini bukan sekadar percutian, tetapi satu ruang untuk mengukuhkan ukhuwah, menyegarkan semangat kerja, dan menyemai rasa kekeluargaan dalam keluarga besar Klinik Tuah. Semoga kenangan ini menjadi pembakar semangat untuk terus maju bersama!




