Cheras, 1 Februari 2025 -Masjid Jamek Alam Shah baru-baru ini menjadi lokasi program Sunathon 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah. Program ini merupakan hasil kolaborasi antara Klinik Tuah dan pihak Masjid Jamek Alam Shah. Sunathon kali ini telah berjaya menarik penyertaan lebih kurang 70 orang kanak-kanak.
Acara dimulakan dengan sesi taklimat berkenaan proses berkhatan yang disampaikan oleh Klinik Tuah. Kanak-kanak yang hadir diberikan pemahaman tentang prosedur serta penjagaan selepas berkhatan, bagi memastikan mereka lebih bersedia dan tenang menghadapi pengalaman tersebut.
Wira-wira kecil tetapi penuh keberanian ini juga diraikan dengan pancuran air oleh pihak bomba, untuk menceriakan lagi suasana dan keriangan, menjadikan pengalaman bersunat mereka lebih menyeronokkan.
Dalam suasana penuh semangat, doktor dan staf klinik menjalankan proses berkhatan dengan penuh dedikasi. Kami amat berterima kasih kepada ibu bapa atas sokongan dan kesabaran mereka serta kepada kanak-kanak yang menunjukkan keberanian dan kerjasama, menjadikan proses berkhatan ini berjalan dengan lancar dan teratur.
Kami berasa amat bersyukur kerana sekali lagi berpeluang menjadi sebahagian daripada program komuniti ini. Program Sunathon bukan sahaja memberikan manfaat kesihatan kepada kanak-kanak, malah turut memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Semoga program seperti ini dapat terus dianjurkan pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak dan mengeratkan ukhwah dalam komuniti.