fbpx Skip to main content
Circumcision

Panduan Jaga Sunat Clamp Semudah 1,2,3!

By November 14th, 2024No Comments

Lepas buat sunat clamp, anak Puan Lina, Akif, nampak okey saja – siap boleh main macam biasa. Tapi tak sampai tiga hari, Akif mula rasa pedih dan gatal. “Mak, Akif rasa gatal la!” katanya sambil merengek.

Puan Lina mula risau, dia tidak menjangkakan akan ada kesan seperti ini dari sunat clamp. Setelah mendapatkan nasihat doktor, barulah Puan Lina praktiskan cara jaga sunat clamp yang tepat untuk elakkan jangkitan.

Pendahuluan

Di Malaysia sememangnya tidak asing lagi dengan sunat atau berkhatan. Setiap lelaki Muslim pasti wajib berkhatan demi tuntutan agama. Malah bukan saja di Malaysia, tapi boleh dikatakan seluruh dunia mempraktikkan khatan, samada untuk agama, budaya ataupun sebab-sebab lain. Statistik global menunjukkan sebanyak 33% bayi lelaki bersunat.

Dan kini kaedah sunat tidak lagi terhad pada pisau atau gunting, tetapi menggunakan alat berteknologi tinggi. Antaranya termasuklah sunat clamp. Sunat clamp kini menjadi pilihan utama ibu bapa dan dewasa yang inginkan kaedah bersunat lebih moden, cepat, dan kurang menyakitkan. Dan semestinya sesetengah ibu bapa beranggapan sunat moden ini tidak memerlukan penjagaan rapi kerana teknik yang lebih mudah dan praktikal. 

Tapi ingat, walaupun clamp ini lebih praktikal, penjagaan selepas sunat tetap penting untuk elakkan sebarang komplikasi.

Dalam artikel ini, kami kongsikan tips dan panduan cara jaga sunat clamp untuk membantu ibu bapa supaya tiada masalah atau komplikasi yang mengganggu!

Cara Jaga Sunat Clamp dengan Mudah dan Selamat

1. Perhatikan Tanda-Tanda Jangkitan

Salah satu tanda penting selepas sunat clamp adalah memastikan tiada jangkitan pada luka. Pada tahun 2020, tular satu kes di media sosial melibatkan Adly, seorang kanak-kanak di Manjung yang mengalami komplikasi selepas sunat clamp. Adly telah bersunat di klinik swasta, tetapi selepas beberapa hari, luka sunatnya mula bernanah dan membengkak.

Menurut laporan, doktor mencadangkan agar clamp tersebut dikeluarkan awal dan luka dibersihkan semula kerana terdapat tanda jangkitan yang serius.

Kes ini adalah peringatan untuk memantau tanda-tanda jangkitan seperti nanah, bengkak, dan bau yang kuat. Sekiranya ada tanda seperti ini, segeralah berjumpa doktor. Jangan abaikan kerana jangkitan yang tidak dirawat boleh melarat dan memerlukan rawatan yang lebih lama.

Cara jaga Sunat Clamp Perhatikan Jangkitan Klinik Tuah

2.Pastikan Luka Bersih Setiap Hari

Selain dari memantau jangkitan, penjagaan harian sangat penting. Pada 24 jam pertama, penting untuk anda pastikan kawasan clamp tidak terkena sebarang air. Setelah 24 jam, anda boleh mandi / memandikan anak sambil membersihkan luka dan clamp dengan air. Kebersihan amat penting untuk mengelakkan kotoran terkumpul dan meningkatkan risiko jangkitan pada luka.

3. Elakkan Aktiviti Berat

Elakkan aktiviti berat seperti berlari, melompat, atau sukan lain sehingga luka benar-benar sembuh. Aktiviti ini boleh menyebabkan clamp tergeser dan merosakkan kawasan sunat, melambatkan penyembuhan.

Cara jaga Sunat Clamp Klinik Tuah

4. Hadkan Pergerakan Kawasan Kelamin

Walaupun tiada jahitan pada sunat clamp, namun anda tetap perlu berhati-hati. Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya clamp tidak bergesel. Pakaian yang ketat menyebabkan clamp tertekan dan mengganggu proses penyembuhan. Selain itu, pakaian longgar seperti kain pelikat juga membantu mengurangkan rasa tidak selesa dan memastikan clamp kekal di tempatnya tanpa pergeseran yang kerap.

5. Minum Air Secukupnya

Mungkin nampak biasa, tetapi minum air yang mencukupi mengekalkan hidrasi, membantu tubuh mengalirkan toksin dan menghasilkan sel-sel baru yang diperlukan untuk penyembuhan. Pastikan anda atau anak anda minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari untuk memastikan tubuh berfungsi dengan baik dan luka cepat sembuh.

Cara jaga Sunat Clamp Klinik Tuah

6. Ambil Ubat yang Diberikan oleh Doktor

Ubat tahan sakit atau antibiotik yang diberi oleh doktor penting untuk mencegah jangkitan. Jangan abaikan jadual ubat yang telah ditetapkan. Walaupun anda rasa luka sudah membaik, teruskan mengambil antibiotik sehingga habis mengikut arahan yang diberi.

Anda juga dinasihatkan untuk guna putik kapas untuk mencuci luka sekeliling clamp. Rendam putik kapas dengan air suam sebelum sapu ubat antiseptic 2-3 kali sehari untuk mengelakkan kuman merebak.

7. Jangan Tanggalkan Clamp Sebelum Waktunya

Pesakit kebiasaannya akan diberi temujanji oleh doktor untuk menanggalkan clamp selepas 5-7 hari. Jangan cuba untuk mencabut sendiri clamp sekiranya tiada pengalaman. Corong pula akan tertanggal dengan sendiri dalam masa sejam selepas clamp dibuka.

Anda juga boleh cuba berendam selama 30-40 minit sebelum temujanji buka clamp agak kawasan tersebut lebih bersih dan tidak melekat ketika dibuka.

Cara jaga Sunat Clamp Klinik Tuah

Penutup

Cara jaga sunat clamp yang betul adalah sangat penting, terutama apabila ada kes-kes yang telah menunjukkan bahawa pengabaian penjagaan boleh menyebabkan komplikasi yang serius. Ikuti langkah-langkah penjagaan ini dengan teliti untuk memastikan luka sembuh dengan cepat, bebas daripada masalah, dan anda boleh kembali menjalani aktiviti harian tanpa risau.